4 askar Thai terbunuh, 68 cedera dalam pertempuran sempadan dengan Kemboja
Empat askar Thailand terbunuh dan 68 yang lain cedera pada Selasa dalam peningkatan pertempuran di sempadan Thailand-Kemboja, kata Tentera Thailand, menurut Xinhua.
Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Kawasan Tentera Kedua Thailand, pertempuran itu berkembang dan semakin sengit, dengan pasukan Kemboja melancarkan "serangan berat" terhadap pihak Thailand.
Serangan Kemboja melibatkan kira-kira 125 kali serangan pelancar roket berbilang BM-21 dengan kira-kira 5,000 roket dan 33 dron berani mati yang menyasarkan pangkalan dan kedudukan pertahanan Thailand di beberapa barisan hadapan, tentera Thailand dilapor berkata.
Menurut Xinhua, tentera Thailand berkata ia bertindak balas dengan "senjata tembakan langsung, senjata tembakan tidak langsung, kereta kebal dan pesawat serangan yang terus menyerang sasaran yang ditetapkan".
Kawasan Tentera Kedua juga menyatakan bahawa ia akan terus melaksanakan semua langkah yang diperlukan untuk mengekalkan keselamatan dan melindungi kedaulatan Thailand sepenuhnya.