KOTA KINABALU — Lelaki warga Indonesia yang disyaki menikam isterinya hingga mati di pasar sayur Kepayan, Jalan Pahlawan, minggu lalu, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Jedu Rudu, 42, dituduh membunuh Suria Woade, 42, yang juga warga Indonesia pada 8 April lalu antara jam 1 hingga 2.21 pagi.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun dengan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Mei.
Jessica juga mengarahkan Jedu ditahan reman sementara menunggu sebutan semula kes itu kerana pertuduhan yang dihadapinya tidak menawarkan sebarang ikat jamin.
Pendakwaan dikendalikan Inspektor Albert Basiri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, kejadian itu dilaporkan berlaku ketika mangsa sedang membantu kakaknya menjual sayur di pasar berkenaan. Suspek kemudian tiba-tiba datang dan menikam mangsa beberapa kali menggunakan pisau sebelum melarikan diri.
Suspek kemudian berjaya ditahan polis pada hari sama selain merampas senjata dipercayai digunakan menikam mangsa. BH