![]() |
Pasukan bomba memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Tagas, Tuaran, malam tadi. Foto JBPM |
TUARAN — Seorang warga emas dilaporkan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Pertanian, Kampung Tagas di sini, malam tadi.
Mangsa dikenali, Agus Ebah, 72, yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemui dalam keadaan rentung oleh pasukan bomba sebaik kebakaran dapat dikawal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.35 malam berhubung seorang mangsa yang dikhuatiri terperangkap dalam kebakaran rumah.
Katanya, 14 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi berserta satu jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
"Pasukan bomba bertindak memadamkan api sehingga berjaya dikawal dan menemui mangsa dalam keadaan rentung pada jam 11.57 malam," katanya. BH