KUALA LUMPUR — Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menyembunyikan wang berjumlah ASDT202,992.36 (RM894,787.12) milik seorang ahli perniagaan warga Singapura, dalam akaun mata wang kripto pada tahun lalu.
Elaine Lee, 27, yang bekerja di bahagian pentadbiran sebuah syarikat swasta, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.
Mengikut pertuduhan utama, tertuduh didakwa menyembunyikan wang berjumlah ASDT202,992.36 kepunyaan Sim Kwang Kai Andrian, 45, yang dimasukkan ke dalam akaun 'wallet address' (akaun mata wang kripto) milik tertuduh dengan tertuduh mengetahui wang berkenaan bukan miliknya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit apartmen di Jalan Bangsar, di sini, pada 21 hingga 23 Disember 2022, mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan, iaitu gagal memberi penjelasan memuaskan bagaimana dia memiliki wang itu pada tempat dan tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang membawa hukuman denda hingga RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Lim Chooi Yi, menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam, Lim Yoi Ping yang mewakili tertuduh pula memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung keluarga, selain memberi kerjasama baik sepanjang tempoh siasatan polis.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 11 Mei depan untuk sebutan kes. BH