PUTRAJAYA — Tol Rahmah percuma akan diberikan kepada pengguna lebuh raya bermula esok hingga Jumaat dan pada 24 April ini sempena sambutan Aidilfitri, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pemberian tol percuma itu membabitkan 33 lebuh raya utama negara.
"Kerajaan bersetuju melaksanakan tol Rahmah percuma iaitu pengecualian tol selama empat hari untuk dinikmati semua pengguna jalan raya," katanya pada sidang media hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan dengan usaha sama pasar raya terpilih, bersetuju untuk menawarkan harga barangan mentah seperti ayam, bawang, barang asas makanan bagi keperluan pengusaha Menu Rahmah pada kadar diskaun khas.
Katanya, ia antara ikhtiar bagi menghargai sumbangan pengusaha Menu Rahmah yang sama-sama menjayakan aspirasi MADANI untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
"Kerajaan cakna dan prihatin dengan kos pengeluaran yang perlu ditanggung pengusaha bagi mendapatkan bekalan bahan mentah.
"Melalui ikhtiar ini, diharapkan dapat memberi kelegaan kepada pengusaha dan seterusnya memastikan kelangsungan pelaksanaan Menu Rahmah yang memberi manfaat besar khususnya kepada rakyat yang kurang berkemampuan," katanya. BH