![]() |
(Foto bomba) |
KUALA LUMPUR — Tiga beranak warga asing terselamat selepas kereta dinaiki terjunam ke dalam kolam takungan banjir berhampiran Bulatan Mergastua Jalan 3/40 Taman Pusat Kepong di sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.40 tengah hari tadi, sebelum menggerakkan satu jentera dengan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang ke lokasi.
Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II Rossli Abu Hassan, berkata sebaik pasukan bomba tiba di lokasi, mendapati ada kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga yang terbabas dan menjunam ke dalam kolam takungan banjir.
"Terdapat tiga mangsa warga asing dalam kenderaan berkenaan terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita dewasa serta seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.
"Lelaki dan wanita dewasa yang juga pasangan suami isteri tidak mengalami sebarang kecederaan namun anak mereka mengalami luka-luka kecil," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Rossli, operasi menyelamat tamat pada jam 1.35 tengah hari dan mangsa kanak-kanak dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM). BH