(Foto hiasan) |
Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara 18 tahun di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal melampau terhadap anak perempuannya pada 2017 dan 2018.
Tertuduh yang berusia 47 tahun turut dikenakan hukuman 13 sebatan selepas membuat pengakuan bersalah bagi kedua-dua pertuduhan sejurus dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Bagi pertuduhan pertama, bapa kepada empat anak itu didakwa merogol anak perempuannya yang berusia 11 tahun ketika kejadian yang mana perhubungan lelaki itu dengan mangsa adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dikenakan sebat sehingga 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Perbuatan itu dilakukan di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Bahau, Jempol, jam 12.01 tengah malam antara 20 hingga 31 Disember 2017.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak (mangsa sama) yang mana ketika kejadian mangsa berusia 12 tahun dengan tertuduh mempunyai hubungan amanah sebagai ayah kandung.
Bagi kesalahan ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(3) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah dan dibaca bersama Seksyen 16(a) akta sama.
Jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan hukuman tambahan penjara tidak lebih lima tahun dan hukuman sebat maksimum dua sebatan.
Perbuatan dilakukan di lokasi sama jam 12.01 tengah malam dari 11 hingga 20 April 2018.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah supaya meringankan hukumannya kerana isterinya hanya seorang suri rumah dan menanggung empat yang masih bersekolah.
"Saya mengaku melakukan kesalahan ini dan benar-benar insaf dengan perbuatan saya yang keji itu. Saya benar-benar menyesal Yang Arif.
"Keadaan kesihatan saya juga tidak mengizinkan kerana ada kencing manis, darah tinggi dan asma, " katanya dalam rayuan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira hubungan tertuduh dan mangsa yang sepatutnya menjadi pelindung.
"Mohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh. Ketika kejadian mangsa berusia 11 dan 12 tahun dan kejadian ini boleh memberi kesan trauma yang serius jangka panjang kepada mangsa," katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua hukuman penjara lapan tahun dengan satu sebatan serta tambahan dua tahun penjara dengan dua sebatan.
Hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu pada 3 April 2023.
Mengikut fakta kes, mangsa pernah memberitahu ibunya tentang perbuatan keji bapa kandungnya itu selepas berasa sakit di bahagian kemaluan tetapi ibunya tidak percaya.
Kemudian, pada tahun ini ketika mangsa berusia 17 tahun perkara itu terbongkar apabila dia meluahkan masalah itu kepada rakannya dan kemudian mereka memberitahu guru sebelum membuat laporan polis dan tertuduh telah ditahan pada 3 April lalu. BH