Langkau ke kandungan utama

Rasa Ramadan: Roti `Maher Zain' di Kuala Besut


(Foto NSTP)

BESUT — "Orang ramai selalunya kenal roti ini dengan nama panggilan roti Barakallah atau roti Maher Zain," kata peniaga, Muhammad Iqbal Mohamad Ali.

Menurutnya, nama roti itu diambil sempena lagu `Baraka Allahu Lakuma' nyanyian artis Maher Zain yang sering dimainkannya setiap kali masuk ke kawasan kampung untuk membuat jualan.

Maher Zain atau nama sebenarnya, Maher Mustafa Maher Zain adalah seorang penyanyi Sweden dan penerbit muzik yang berasal dari Lubnan.

`Baraka Allahu Lakuma' adalah antara sejumlah lagu popular penyanyi berusia 41 tahun ini yang diterbitkan pada 2009.

"Idea pasang lagu Maher Zain berulang kali ketika menjual roti sebenarnya datang daripada ayah saya, Mohamad Ali Abas," kata Iqbal mengulas mengenai nama unik roti jualannnya itu.

"Sejak kemunculan lagu berkenaan sehingga kini memang kami menggunakan lagu sama kerana roti ini sudah sinonim dengan lagu itu," katanya yang ditemui di pekarangan Bazar Ramadan Kuala Besut, di sini.

Berkongsi cerita mengenai perniagaan rotinya itu, Iqbal berkata ia bermula daripada ayahnya yang pernah bekerja di sebuah kedai sebelum berhenti dan membuka bengkel roti sendiri di Kampung Gaal, Pasir Puteh, Kelantan sejak lebih 10 tahun lalu.

"Pada masa itu saya masih belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Machang dalam jurusan Pengurusan Maklumat dan hanya membantu ayah apabila ada cuti semester.

"Selepas tamat belajar saya buat keputusan untuk membantu ayah sepenuhnya meneruskan perniagaan membuat roti ini serta menjualnya di kawasan kampung.

"Pada peringkat awal, kami bergerak dengan menggunakan tiga kereta, namun sekarang hanya saya seorang meneruskan tradisi menjual roti guna kereta ini kerana dua adik saya sudah bekerja sebagai chef serta membuka kedai makan," katanya.

Anak sulung dari 13 adik beradik ini berkata, setiap hari dia akan dibantu dua pekerja membuat 18 jenis roti pada sebelah pagi sebelum keluar menjual sekitar jam 5 petang.

"Selalunya kami mampu menghasilkan kira-kira 3,000 biji roti dengan pelbagai inti antaranya coklat dan kelapa selain roti siput dan roti pizza.

"Roti ini mempunyai peminatnya tersendiri kerana teksturnya lembut. Roti baru sentiasa segar, dibuat setiap hari dan dijual dengan harga RM 3 untuk semua jenis," katanya.

Iqbal yang juga bapa kepada seorang anak berkata, sepanjang Ramadan ini dia akan keluar sejauh 22 kilometer untuk berniaga di kawasan Bazar Ramadan Kuala Besut serta kampung sekitar seperti Kampung Nail, Kampung Raja serta Kampung Air Tawar. BH

Catatan popular daripada blog ini

5 penderma teratas dana gempa Turkiye

Khemah bagi orang terlantar berikutan gempa bumi di Adiyaman, tenggara Turkiye, 25 Mac 2023. (AFP) RIYADH — Pejabat PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan pada Jumaat mengucapkan terima kasih kepada Arab Saudi dan negara penderma lain yang menyumbang untuk meningkatkan lebih satu perempat daripada rayuan kilat dikeluarkan oleh PBB berikutan gempa bumi dahsyat di Turkiye, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA). PBB berkata ia telah mengumpulkan $268 juta sebagai tindak balas kepada rayuan dana kemanusiaan $1 bilion untuk kerja bantuan di Turkiye berikutan gempa bumi 7.8 magnitud pada 6 Februari dan gegaran susulannya yang memusnahkan sebahagian besar Turkiye tenggara dan sebahagian Syria yang dilanda perang. Jurucakap Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Jens Laerke berkata, 27 peratus daripada rayuan telah dibiayai dan penderma terbesar ialah Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS), Kuwait, Suruhanjaya Eropah dan Tabung Tindak Balas Kecemasan Pusat PBB, sambil menggesa negara-negara u...

Perkhidmatan pengintip Rusia berkata, AS latih militan untuk menyerang Rusia

MOSCOW — Perkhidmatan perisik asing Rusia berkata pada Isnin, ia telah menerima risikan bahawa tentera AS sedang melatih militan Islam untuk menyerang sasaran di Rusia dan bekas Kesatuan Soviet. Perkhidmatan Perisikan Asing Rusia, diketuai oleh sekutu Presiden Vladimir Putin, berkata ia mempunyai risikan bahawa 60 militan seperti itu daripada kumpulan yang bergabung dengan Daesh dan Al-Qaeda telah direkrut dan sedang menjalani latihan di pangkalan Amerika di Syria. “Mereka akan ditugaskan untuk menyediakan dan melakukan serangan pengganas terhadap diplomat, penjawat awam, pegawai penguatkuasa undang-undang dan anggota angkatan tentera,” kata Perkhidmatan Perisikan Asing, dikenali SVR. "Perhatian khusus diberikan untuk menarik pendatang dari Caucasus Utara Rusia dan Asia Tengah," kata SVR dalam satu kenyataan. Agensi itu tidak menerbitkan risikan di sebalik dakwaannya dan Reuters tidak dapat mengesahkannya secara bebas. SVR, pernah menjadi sebahagian darip...

Tahi itik, jala emas, buah tanjung tetap jadi pilihan Ramadan di Kelantan

Tahi itik - (Foto Wikipedia) KOTA BHARU — Kuih tradisi Kelantan seperti tahi itik, jala emas dan buah tanjung tetap menjadi pilihan utama orang ramai di negeri ini, untuk dijadikan juadah manisan untuk berbuka puasa setiap kali Ramadan. Pengusaha kuih tradisional, Mohammed Omar, 65, berkata permintaan bagi semua kuih berkenaan meningkat berbanding hari biasa menyebabkan dia tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang datang membelinya di rumah. Katanya, setiap hari dia memerlukan 3,000 biji telur ayam untuk membuat tiga jenis kuih tradisional iaitu jala emas dan buah tanjung yang menggunakan seratus peratus telur kuning, manakala telur putih digunakan untuk membuat kuih tahi itik. "Saya sudah lebih 20 tahun berniaga menjual kuih bersama arwah isteri, Fatimah Nik Salleh yang meninggal dunia tujuh tahun lalu dan resepi untuk membuat semua kuih ini adalah daripadanya yang memiliki rasa sedap serta tidak terlalu manis dan rasa itu dikekalkan sehingga ke hari ini. ...