Rasa Ramadan: Burasak, lepat loi juadah pilihan untuk berbuka, hidangan hari raya
![]() |
| (Foto NSTP) |
PONTIAN — Makanan tradisi masyarakat Bugis, 'burasak' dan 'lepat loi' yang dahulunya hanya boleh ditemui ketika sambutan Aidilfitri dan Aidiladha, kini semakin mudah diperoleh dan boleh ditempah pada bila-bila masa.
Antara pewaris kekal menghasilkan juadah berkenaan ialah pasangan suami isteri, Ismail Ibrahim, 63, dan Saenah Nurong, 63, dari Pekan Nanas, di sini, menerusi perusahaan dinamakan mereka 'Burasak Abah'.
Pasangan itu yang sudah mengusahakan menu istimewa Bugis berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu, biasanya menjual lebih 20,000 burasak dan lepat loi semasa Ramadan dan Syawal yang dihasilkan di kedai mereka.
Menurut Saenah, pada permulaan, mereka memasak burasak dan lepat loi hanya untuk hidangan keluarga pada sambutan perayaan utama umat Islam.
"Namun selepas mencuba, ramai saudara-mara mula menempah setiap kali Ramadan dan Syawal, bermula hanya 20 atau 30 bungkus, kini mencecah lebih 20,000 bungkus setiap kali bulan puasa dan hari raya," katanya.
Burasak diperbuat daripada nasi yang ditanak bersama santan segar dan garam dengan nasi ditanak separuh masak kemudian dibungkus dalam daun pisang muda berbentuk segi empat panjang.
Lima keping burasak selepas itu dibungkus bersama menggunakan tiga hingga empat keping daun pisang, sebelum diikat dan direbus selama lima hingga enam jam.
"Kaedah pembuatannya sama dengan lepat loi, tetapi lepat loi menggunakan pulut dan berbentuk tiga segi panjang," kata Saenah ketika ditemui di Pusat Perdagangan Pekan Nanas di sini.
Katanya, proses penghasilan burasak mengambil masa yang lama bagi memastikan makanan itu tahan lebih lama.
"Biasanya burasak dibungkus dengan daun pisang nipah sebab daun pisang lain dikhuatiri boleh menyebabkan nasi menjadi pahit. Namun sekarang, kekangan kami adalah daun pisang hingga kami sendiri memperuntukkan RM20,000 untuk daun pisang sahaja dalam setahun.
"Situasi banjir di Johor bulan lalu membimbangkan kami kerana banyak pokok pisang ditenggelami air bah," katanya.
Sebelum pandemik COVID-19, katanya, mereka pernah mengambil tempahan untuk Aidilfitri, tetapi disebabkan daun pisang tidak mencukukupi, banyak tempahan tidak dapat disiapkan.
"Selepas itu, kami tidak lagi menerima tempahan. Kami buat burasak ikut kemampuan sahaja, dijual terus di kedai kami setiap hari sepanjang Ramadan. Ketika itu, jualan 100 bungkus setiap hari dan meningkat sehingga 400 bungkus sehari pada dua tiga hari sebelum Syawal," katanya. BH
