Langkau ke kandungan utama

Pukul, bakar anjing, remaja kena 7 sebatan ringan

JOHOR BAHRU — Seorang remaja dihukum tujuh sebatan ringan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah menyebabkan kesakitan secara kejam terhadap seekor anjing, bulan lalu.

Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim turut memerintahkan Braden Yap Hong Sheng, 19, yang juga orang kena saman (OKS) dilepaskan dengan bon berkelakuan baik selama setahun.

Yap yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu pada 12 April lalu turut dibenarkan ikat jamin RM10,000.

Che Wan Zaidi sebelum menjatuhkan hukuman, berkata mahkamah memandang berat perbuatan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan OKS.

"Apa jua ancaman dilakukan oleh anjing itu terhadap kamu (OKS), kamu tidak sepatutnya bertindak kejam hanya kerana sakit hati, sepatutnya kamu membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan untuk mereka ambil tindakan," katanya.

Bagaimanapun, beliau juga berkata, mahkamah mengambil kira faktor OKS adalah pesalah muda, kesalahan pertama kali dan sudah insaf serta membuat pengakuan bersalah di peringkat awal.

"Mahkamah melihat hukuman penjara tidak sesuai ke atas OKS, namun tanggungjawab mahkamah juga untuk memberi hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam sebagai memberi pengajaran kepada OKS dan masyarakat supaya perbuatan ini tidak berulang lagi di masa akan datang," katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan kejamnya menyebabkan kesakitan yang tidak sepatutnya ke atas seekor anjing betina berwarna coklat di hadapan sebuah premis di Jalan Impian Emas 22, Taman Impian Emas, Skudai di sini, jam 1.49 pagi, 27 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, OKS didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Johor, Mohd Zamri Shak @ Ishak, manakala OKS diwakili peguam GK Sritharan.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Mei depan untuk pelaksanaan hukuman sebatan ringan itu terhadap tertuduh secara terbuka di Mahkamah Sesyen Jenayah 4, jam 9 pagi.

Mengikut fakta kes, kira-kira 12.30 tengah hari, 28 Mac lalu, Doktor Veterinar JPV Johor menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas seekor anjing berdasarkan aduan awam berkaitan seorang lelaki memukul dan membakar anjing terbabit.

Hasil pemeriksaan mendapati anjing berada dalam keadaan ketakutan serta terdapat kesan lebam dan terbakar di paha kiri, luka pada kaki hadapan dan pendarahan di bahagian mata sebelah kiri.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), OKS didapati memukul dan membakar anjing berkenaan. BH

Catatan popular daripada blog ini

5 penderma teratas dana gempa Turkiye

Khemah bagi orang terlantar berikutan gempa bumi di Adiyaman, tenggara Turkiye, 25 Mac 2023. (AFP) RIYADH — Pejabat PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan pada Jumaat mengucapkan terima kasih kepada Arab Saudi dan negara penderma lain yang menyumbang untuk meningkatkan lebih satu perempat daripada rayuan kilat dikeluarkan oleh PBB berikutan gempa bumi dahsyat di Turkiye, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA). PBB berkata ia telah mengumpulkan $268 juta sebagai tindak balas kepada rayuan dana kemanusiaan $1 bilion untuk kerja bantuan di Turkiye berikutan gempa bumi 7.8 magnitud pada 6 Februari dan gegaran susulannya yang memusnahkan sebahagian besar Turkiye tenggara dan sebahagian Syria yang dilanda perang. Jurucakap Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Jens Laerke berkata, 27 peratus daripada rayuan telah dibiayai dan penderma terbesar ialah Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS), Kuwait, Suruhanjaya Eropah dan Tabung Tindak Balas Kecemasan Pusat PBB, sambil menggesa negara-negara u...

Perkhidmatan pengintip Rusia berkata, AS latih militan untuk menyerang Rusia

MOSCOW — Perkhidmatan perisik asing Rusia berkata pada Isnin, ia telah menerima risikan bahawa tentera AS sedang melatih militan Islam untuk menyerang sasaran di Rusia dan bekas Kesatuan Soviet. Perkhidmatan Perisikan Asing Rusia, diketuai oleh sekutu Presiden Vladimir Putin, berkata ia mempunyai risikan bahawa 60 militan seperti itu daripada kumpulan yang bergabung dengan Daesh dan Al-Qaeda telah direkrut dan sedang menjalani latihan di pangkalan Amerika di Syria. “Mereka akan ditugaskan untuk menyediakan dan melakukan serangan pengganas terhadap diplomat, penjawat awam, pegawai penguatkuasa undang-undang dan anggota angkatan tentera,” kata Perkhidmatan Perisikan Asing, dikenali SVR. "Perhatian khusus diberikan untuk menarik pendatang dari Caucasus Utara Rusia dan Asia Tengah," kata SVR dalam satu kenyataan. Agensi itu tidak menerbitkan risikan di sebalik dakwaannya dan Reuters tidak dapat mengesahkannya secara bebas. SVR, pernah menjadi sebahagian darip...

Tahi itik, jala emas, buah tanjung tetap jadi pilihan Ramadan di Kelantan

Tahi itik - (Foto Wikipedia) KOTA BHARU — Kuih tradisi Kelantan seperti tahi itik, jala emas dan buah tanjung tetap menjadi pilihan utama orang ramai di negeri ini, untuk dijadikan juadah manisan untuk berbuka puasa setiap kali Ramadan. Pengusaha kuih tradisional, Mohammed Omar, 65, berkata permintaan bagi semua kuih berkenaan meningkat berbanding hari biasa menyebabkan dia tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang datang membelinya di rumah. Katanya, setiap hari dia memerlukan 3,000 biji telur ayam untuk membuat tiga jenis kuih tradisional iaitu jala emas dan buah tanjung yang menggunakan seratus peratus telur kuning, manakala telur putih digunakan untuk membuat kuih tahi itik. "Saya sudah lebih 20 tahun berniaga menjual kuih bersama arwah isteri, Fatimah Nik Salleh yang meninggal dunia tujuh tahun lalu dan resepi untuk membuat semua kuih ini adalah daripadanya yang memiliki rasa sedap serta tidak terlalu manis dan rasa itu dikekalkan sehingga ke hari ini. ...