BATU GAJAH — Polis sedang mengesan pemilik kenderaan jenis Nissan Almera yang pemandunya dirakam menabur paku di atas jalan raya dipercayai dekat kawasan lampu isyarat persimpangan dekat Pusing, Jalan Ipoh-Lumut di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Aaisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata pihaknya mengesan video tular di media sosial berhubung perkara itu semalam.
Beliau juga mengesahkan turut menerima laporan polis berhubung kejadian daripada pengguna jalan raya yang mengalami tayar bocor selepas melalui kawasan itu.
Katanya, susulan itu pihaknya daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perlakuan khianat. BH