![]() |
Anwar menyampaikan sumbangan kepada warga asnaf ketika Program Nur Ramadan di Masjid Ar-Rahah Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur. Foto NSTP |
KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan pemimpin pembangkang bahawa kerajaan berunding dengan China berhubung isu pertikaian kawasan cari gali minyak di Laut China Selatan.
Perdana Menteri berkata, kenyataan pembangkang menuduh beliau berunding dengan China bagi tujuan itu ketika lawatan kerjanya ke negara berkenaan minggu lalu adalah tidak benar.
"Ini tak betul. Saya pergi ke China, di hadapan Presiden China (Xi Jinping) kita kata, kita jaga prinsip kita. PETRONAS dapat (lakukan) cari gali besar-besaran di Laut China Selatan. Saya sudah bagi kelulusan untuk teruskan.
"Kebetulan China tuntut kawasan tengah laut itu. Saya jawab kepada pimpinan China, saya katakan kami terpaksa teruskan projek itu kerana ia berada di kawasan kami.
"Lautan bawah bidang kuasa Malaysia, jadi kita teruskan. Dia kata dia pun tuntut, tak mengapa kita akan teruskan (cari gali). Tapi mereka (pembangkang) pusing kata saya runding sebab kononnya projek (cari gali) tak jalan," katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM200 kepada 300 asnaf dan fakir miskin di Parlimen Lembah Pantai.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin mengecam kenyataan Anwar yang menyatakan keterbukaan Malaysia berunding dengan China berhubung kebimbangan mengenai aktiviti cari gali oleh PETRONAS di Laut China Selatan.
Ahli Parlimen Pagoh itu mendakwa, kenyataan terbabit boleh mengundang risiko ancaman kedaulatan negara, cuai dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini turut memaklumkan Malaysia akan meneruskan pendekatan diplomatik dalam hubungannya dengan negara lain, termasuk China dalam usaha bersama demi memastikan Laut China Selatan kekal aman, stabil dan selamat untuk laluan perdagangan.
Pendekatan ini selaras dengan peruntukan terkandung dalam Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan, antaranya, penyelesaian konflik dengan aman dan mengelakkan ancaman atau penggunaan kekerasan, seperti dipersetujui negara anggota ASEAN dan China pada 2002. BH