KUALA LUMPUR — Kebanyakan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), masih ragu dengan kaedah cagaran simpanan diperkenalkan agensi itu, semalam, yang membolehkan mereka membuat pinjaman bank.
Rata-rata pencarum yang ditemui, lebih memilih untuk mengeluarkan wang secara terus daripada tabung KWSP berbanding membuat pinjaman walaupun kadar faedah yang dikenakan dikatakan lebih rendah daripada kadar semasa.
Suri rumah, Alyaa Nabihah Zainal Abu, 28 berkata kaedah itu akan memberi kesan yang menyusahkan rakyat dalam jangka masa panjang.
"Apabila kita membuat pinjaman, ia akan menambah satu lagi komitmen untuk bayar balik duit yang sudah dipinjam. Impak ini akan lebih dirasai individu yang terpaksa berhenti kerja atas alasan tertentu, ia akan menyukarkan mereka membayar balik pinjaman.
"Pengeluaran terus lebih baik kerana kita tidak meminjam daripada sesiapa. Itu duit kita sendiri.
"Walaupun duit itu adalah simpanan masa tua, sekurang-kurangnya kita tiada komitmen lain untuk bayar pinjaman," katanya.
Penuntut Ijazah Sarjana di sebuah universiti awam itu berkata, jika kemudahan itu dibuka kepada pencarum berusia bawah 40 tahun kelak dan keadaan memaksanya untuk membuat pinjaman, wang itu akan digunakan untuk menampung kos sara hidup yang tinggi ketika ini.
Beliau juga akan menggunakan wang itu untuk membayar hutang pinjaman pelajaran dan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan untuk menambah pendapatan.
Semalam, KWSP mengumumkan, pencarum KWSP berusia 40 tahun ke atas, yang mempunyai tabungan minimum RM3,000 dalam Akaun 2, layak membuat pinjaman bank menerusi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2), mulai 7 April ini.
Dua bank tempatan menyediakan kemudahan pinjaman berkenaan iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank, dengan kadar faedah (konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) antara empat hingga lima peratus, lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa iaitu lapan hingga 15 peratus.
Jumlah pembiayaan maksimum ditetapkan pada RM50,000, tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik hingga 10 tahun.
Pereka bentuk syarikat swasta, Nur Syafiqah Mohamad Jafri, 24, berkata langkah diperkenalkan KWSP itu tidak mengurangkan beban rakyat kerana mereka perlu pula membayar balik pinjaman.
Pembantu operasi prasekolah, Maimun Saleh, 48, berkata kaedah pengeluaran terus adalah lebih baik, namun akan memohon pinjaman itu untuk meringankan beban kewangannya.
"Saya akan gunakan duit ini untuk membeli barangan keperluan harian, khususnya untuk anak yang masih belajar di sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.
"Syukur, inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kewangan.
"Namun, kaedah sebelum ini seperti i-citra, lebih baik kerana saya tak perlu pinjam dengan sesiapa pun, termasuk bank," katanya. BH