![]() |
Foto hiasan — Unsplash |
BACHOK — Perkelahan selepas menghadiri majlis pertunangan adik ipar, berakhir tragedi buat jurutera Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Bharu apabila lemas dalam kejadian di Kuala Gel dekat Pantai Malawi semalam, lapor Berita Harian.
Menurut laporan itu kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang, ketika mangsa, Muhammad Fauzan Azamuddin, 34, berusaha menyelamatkan abang ipar dan anak saudaranya daripada lemas di tempat kejadian.
Seorang waris mangsa dipetik berkata, Fauzan bersama keluarga serta adik beradik isterinya, Farah Alyani Mohd Razali, 30an, ke pantai berkenaan selepas menghadiri majlis pertunangan adik iparnya.
"Kami mengetahui kejadian menimpa mangsa kira-kira jam 7.30 malam tadi (semalam) selepas dihubungi ahli keluarga lain yang turut berada di lokasi.
"Kami dimaklumkan, Fauzan lemas ketika cuba menyelamatkan seorang anak saudaranya serta abang ipar, Muhammad Rasyidan Razali, 37, daripada lemas," katanya ketika ditemui (pemberita) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, di sini, semalam.
Ahli keluarga mangsa terselamat dalam kejadian kini dalam rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, ketika mengesahkan kejadian itu, dipetik sebagai berkata mayat mangsa ditemui di tempat kejadian oleh orang awam.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan daripada Klinik Kesihatan Beris Kubor Besar pada jam 7.03 malam," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk bedah siasat.