PUTRAJAYA — Seorang peniaga membuat laporan polis terhadap syarikat pelancongan umrah dan haji, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd (Emraz) selepas tidak mendapat maklum balas mengenai tempahan umrah dibuatnya daripada syarikat itu.
Laporan dibuat Minah Basir, 45, dari Puchong, dekat sini, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya selepas mendakwa pihak syarikat berdiam diri meskipun dia sudah membuat bayaran RM38,000 untuk tempahan mengerjakan umrah.
Bayaran itu dibuat sejak penghujung Januari lalu bagi membawa 20 ahli keluarganya mengerjakan umrah pada November depan.
Mengulas lanjut, katanya, dia pergi ke pejabat syarikat terbabit di sini kira-kira jam 2.30 petang tadi untuk membatalkan tempahan dan menuntut bayaran semula, namun mendapati notis makluman ditampal memaklumkan pejabat ditutup sehingga diberitahu kelak.
"Oleh kerana tidak mendapat sebarang perkembangan daripada pihak syarikat selain panggilan tidak berjawab, saya membuat laporan polis hari ini bagi mendapatkan kembali wang yang sudah dibayar itu," katanya kepada BH.
Semalam Lembaga Tabung Haji (TH) menggantung lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Emraz sebagai langkah awal melindungi kebajikan bakal jemaah haji.
TH dalam kenyataannya, berkata keputusan itu diambil berikutan makluman beberapa aduan awam mengenai perkhidmatan umrah yang diberikan oleh syarikat berkenaan.
Jumaat lalu turut berlaku kekecohan di pejabat syarikat terbabit selepas kira-kira 60 bakal jemaah umrah menyerbu pejabat bagi menuntut semula bayaran yang dijelaskan.
Susulan kekecohan terbabit, syarikat itu kemudian mengeluarkan kenyataan memaklumkan penangguhan trip sempena Ramadan disebabkan kenaikan mendadak kos dari segi penginapan dan tiket kapal terbang. BH