Pemandu Myvi selamat, walaupun kereta digilis lori
KUALA LUMPUR — Berpantang maut sebelum ajal. Demikian nasib seorang pemandu kereta Perodua Myvi apabila terselamat dari maut walaupun sebahagian kereta dipandunya digilis lori dalam nahas di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) tengah hari tadi.
Dalam kejadian jam sekitar jam 12.30 tengah hari itu, kereta dipandu mangsa dilaporkan dalam perjalanan dari arah Sungai Besi menuju ke Sri Petaling.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, berkata dua jentera dari Balai Bomba Penyelamat Sungai Besi dan Bandar Tun Razak serta sebuah ambulans dikejarkan ke lokasi sebaik menerima maklumat.
"Seramai 15 pegawai dan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu membawa keluar mangsa seorang lelaki yang tersepit di bahagian pemandu.
"Pihak bomba mengambil masa hampir 15 minit bagi membawa keluar mangsa yang tersepit sebelum dia berjaya dibawa keluar pada jam 1.15 tengah hari," katanya kepada BH hari ini.
Katanya hasil pemeriksaan, mangsa berkenaan mengalami kecederaan patah tangan kiri.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk rawatan lanjut.
Kejadian kemalangan itu tular dalam laman media sosial yang dipercayai dirakam oleh pengguna jalan raya di kedua-dua hala MRR2.
Berdasarkan gambar yang tular, kereta dipandu mangsa didapati tersepit di antara dua buah lori di bawah sebuah jejambat berhampiran susur masuk ke Pekan Sungai Besi.
Kemalangan turut mengakibatkan kesesakan teruk selama hampir sejam akibat kemalangan itu.
Difahamkan Polis Kuala Lumpur akan mengeluarkan kenyataan berhubung kemalangan itu dalam masa terdekat selepas siasatan dibuat. BH
