PASIR PUTEH — Seorang pemandu bas ekspres putus tangan kanan dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di KM37 Jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu (Persimpangan Lampu Isyarat Bypass Sri Aman).
Dalam kejadian jam 4.30 petang tadi, mangsa Mohamad Amiruddin Azhar, 27 cedera parah, manakala dua lagi mangsa iaitu penumpang bas cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria, berkata siasatan awal mendapati bas berkenaan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu.
"Apabila sampai di tempat kemalangan, bas berkenaan hilang kawalan dan merempuh sebuah lori yang berhenti di lampu merah.
"Lori berkenaan seterusnya meluncur ke hadapan dan merempuh empat kenderaan di hadapannya," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, kanggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan pemandu bas yang tersepit.
Katanya, dua penumpang bas, Zawahir Omar, 73 dan Jarah Said, 64 cedera ringan dengan ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan. BH