KUALA LUMPUR — "Allah panjangkan umur saya, selepas kira-kira 10 minit saya beredar dari monitor rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada dalam bilik tidur, tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat hingga memecahkan cermin tingkap dan monitor CCTV, malah meja kayu berlubang dan tetikus CCTV turut berkecai," kata Lilis Surianty Mior Aziz.
Berkongsi pengalaman mengejutkan itu, beliau yang juga Pengerusi Persatuan Wanita Kementerian Luar (PERWAKILAN) Khartoum, di Sudan, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin di kediamannya di Khartoum ketika tembakan terus berlaku di jalan keliling rumahnya susulan konflik berlarutan membabitkan dua pihak iaitu Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF).
Lilis Surianty berkata, kejadian itu mungkin disebabkan peluru sesat atau serpihan arteleri menembusi tingkap rumahnya hingga bergegar kuat dan memecahkan tingkap kaca serta monitor CCTV dan merosakkan meja kayu di situ.
"Memang saya sangat terkejut apabila kejadian itu berlaku dan bersyukur kerana terselamat daripada kejadian tidak diingini berlaku.
"Sebelum kejadian itu pagi kelmarin, saya yang tertidur selama kira-kira dua jam terbangun pada jam 9 pagi, selepas dikejutkan suami yang memaklumkan berlaku tembakan bertalu-talu di jalan depan dan tepi rumah yang jaraknya hanya kira-kira dua meter saja.
"Saya terus meluru ke monitor CCTV yang terletak di tepi tingkap dalam bilik tidur untuk melihat keadaan di luar dan selepas melihat berlaku pertempuran dengan tembakan bertalu-talu, saya keluar bilik dan 10 minit selepas itu, tingkap kaca di situ berkecai dengan sebahagian skrin monitor CCTV turut pecah.
"Disebabkan keadaan dan keselamatan tidak menentu, saya terus menghubungi beberapa isteri kakitangan kedutaan di sini supaya mereka menjaga keselamatan keluarga dan berada jauh dari tingkap atau pintu bagi mengelak terkena peluru sesat," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Keganasan yang memuncak di Sudan menyebabkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, menitahkan kerajaan supaya bersiap sedia membawa pulang rakyat Malaysia di negara itu secepat mungkin sekiranya keadaan bertambah tegang.
Perkara itu dinyatakan baginda melalui muat naik di Facebook rasmi Istana Negara, hari ini, dan meminta seluruh rakyat Malaysia mendoakan keselamatan serta kesejahteraan rakyat Malaysia di Sudan berikutan krisis yang berlaku di negara itu.
Baginda turut menyeru masjid mengadakan solat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan Allah SWT supaya rakyat Malaysia dilindungi serta ketegangan di Sudan dihentikan segera.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, sebelum ini mengesahkan 29 rakyat Malaysia yang dikenal pasti berada di Sudan dilaporkan selamat.
Beliau berkata, Wisma Putra mengikuti secara dekat perkembangan di Sudan bersama agensi kerajaan lain termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan beberapa agensi lain.
Lilis Surianty berkata, malam sebelum pertempuran itu berlaku, beliau bersama suaminya yang juga Duta Malaysia di Sudan, Mohamad Razdan Jamil, mengadakan pertemuan dengan kakitangan kedutaan dan pelajar di Kompleks Petronas di Khartoum bagi membincangkan sambutan raya yang bakal diadakan kelak.
"Disebabkan pertempuran tidak diduga itu, enam pelajar Malaysia kini berlindung di Kompleks Petronas kerana keadaan tidak selamat untuk mereka pulang ke rumah.
"Rakan di sini juga menasihati kami untuk mengelak berada berdekatan tingkap atau pintu kerana bimbang terkena peluru sesat. Jadi, setakat ini, saya dan suami masih berlindung dalam bilik kecil di rumah ini.
"Setakat ini, bekalan makanan, elektrik dan air masih ada di sini, tetapi di sebahagian kawasan lain bekalan elektrik sudah terputus. Kami tidak dapat ke mana-mana kerana ancaman keselamatan sangat tinggi susulan pertempuran antara dua kumpulan itu berlaku di seluruh bandar," katanya.
Lilis Surianty berkata, sepanjang lima tahun berada di Sudan, pertempuran kali ini dianggap yang terburuk berlaku hingga menyebabkan dia fobia, malah terpaksa berkurung dalam bilik kecil yang terlindung daripada sasaran tembakan.
"Dalam keadaan seperti ini, kami memberi kekuatan sesama sendiri, kekal tenang dan menjaga keselamatan keluarga masing-masing.
"Sampai sekarang (selepas tiga hari pertempuran berlaku), bunyi tembakan terus kedengaran tanpa mengira masa. Kami berharap keganasan ini segera berakhir," katanya. BH