KOTA BHARU — Seorang pelajar Tingkatan Tiga maut, apabila motosikal ditunggangnya terbabit nahas dengan sebuah kereta Perodua Viva, berhampiran Kilometer (KM) 10.4 Lebuhraya Kota Bharu-Ketereh, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, mangsa Muhammad Aqil Rifqi Mohd Suhaimi, 15, yang menunggang motosikal Honda EX5, maut di lokasi akibat cedera di kepala dan dada, manakala pemandu kereta seorang lelaki berusia 41 tahun tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata siasatan awal mendapati sebelum kejadian Perodua Viva dari arah Pasir Hor, menghala ke Ketereh melalui lebuh raya itu.
Katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, secara tiba-tiba beberapa motosikal termasuk yang ditunggang mangsa cuba memotong kereta.
"Bagaimanapun, mangsa gagal mengawal motosikalnya dan terlanggar bahagian belakang kereta menyebabkan dia terjatuh dan terseret di lokasi kemalangan.
"Mangsa tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh, manakala motosikalnya remuk di bahagian hadapan," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Rosdi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk bedah siasat.
Katanya, kemalangan itu berpunca daripada kegagalan mangsa mengawal motosikal ketika cuba memotong kereta sebelum terjatuh di lokasi. BH