KUALA LANGAT — Pelajar cemerlang Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah Banting yang memperoleh keputusan Mumtaz Sofi Sijil Tinggi Ama Malaysia (STAM) hari ini, menyimpan cita-cita sebagai tukang cuci Kaabah.
Itu adalah kerjaya impian Muhammad Zaurein Rosman, 19, kerana mahu sentiasa melihat dan mendekatkan diri dengan rumah Allah SWT.
Anak ketiga daripada empat beradik yang berasal dari Kampung Bukit Changgang, Banting, Selangor itu memperoleh gred Mumtaz (cemerlang) bagi semua 10 mata pelajaran yang diambil.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT atas kejayaan yang diberikan. Insya-Allah, saya merancang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
"Cita-cita saya hendak jadi tukang cuci Kaabah kerana saya hendak rapat dengan rumah Allah..sebab itu saya tertarik untuk menjadi tukang cuci Kaabah.
"Saya amat sukakan suasana Kaabah dan keadaan di sekelilingnya, mendamaikan dan menenangkan hati. Ibu bapa juga tiada halangan dengan cita-cita saya," katanya yang ditemui selepas Pengumuman Keputusan STAM Tahun 2022 yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di sekolah berkenaan di sini hari ini.
Katanya, meskipun memperoleh keputusan cemerlang dalam STAM dia masih berharap dapat merealisasikan cita-cita itu namun mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
"Bagi saya kerjaya apa pun semua baik, ia tidak bergantung kepada keputusan peperiksaan semata-mata.
"Pendapatan (gaji) saya letak nombor dua, yang paling penting adalah keberkatan. Kalau dapat sedikit tetapi berkat, itu cukup untuk kita," katanya.
Ditanya rahsia kejayaan dalam pelajaran, katanya, menjaga hubungan dengan Allah SWT, ibu bapa, guru serta rakan-rakan antara perkara yang dititikberatkan.
Sementara itu, seorang lagi pelajar yang memperoleh Mumtaz Sofi, Muhammad Shahrul Nizam Musthafa, 19 pula berkata, mentaati ibu bapa serta guru adalah kunci kejayaan meskipun STAM cukup mencabar baginya.
"Antara tips yang dapat saya kongsikan adalah sebagai penuntut ilmu, sentiasa taat kepada guru kerana mereka juga seperti ibu bapa kita di sekolah, kita juga perlu selalu meminta dia restu dari ibu bapa kita.
"Saya belajar berkumpulan, berkongsi ilmu serta sentiasa bertanya dengan guru-guru," kata anak kedua daripada lima beradik berasal dari Sijangkang, Selangor dan bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan. BH