Pekebun kecil getah terima bantuan khas Aidilfitri 17 April
BATU PAHAT — Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) Tahun 2023 berjumlah RM200 akan dibayar kepada seramai 318,642 pekebun kecil getah di seluruh negara mulai 17 April ini.
Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Seri Noraini Ahmad berkata bakal penerima turut merangkumi penerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) Tahun 2022.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata bantuan khas itu disasarkan kepada pekebun kecil getah yang mempunyai keluasan kebun di bawah 2.5 hektar.
"Kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan melaksanakan penyaluran BKKA Tahun 2023 mulai 17 April ini.
"BKKA yang bakal disalurkan adalah inisiatif tambahan menerusi pembentangan Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri membabitkan seramai 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan.
"Bagi pekebun kecil getah di bawah seliaan RISDA, bantuan ini membabitkan peruntukan berjumlah RM63.75 juta," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pekebun Kecil Makmur dan Santunan Kasih Ramadhan RISDA Negeri Johor 2023 di Dewan Seri Mahkota, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Batu Pahat, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi RISDA Johor, Daman Huri Toha.
Noraini berkata bantuan akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima seperti yang telah didaftarkan dengan RISDA.
Katanya, seramai 11,883 pekebun kecil RISDA Negeri Johor dan 595 orang pekebun kecil RISDA Daerah Batu Pahat akan menerima BKKA ini membabitkab peruntukan sebanyak RM2.37 juta.
"Semakan status bayaran boleh dibuat melalui laman sesawang BMT.RISDA.GOV.MY," katanya. BH
