![]() |
(Foto hiasan) |
KUALA LUMPUR — Seorang pemain video dalam talian kehilangan wang simpanan hampir RM96,000 selepas menjadi mangsa penipuan 'phone scam'.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata mangsa wanita berusia 30 tahun dan menetap di Taman Wahyu di sini, pada mulanya menerima panggilan daripada individu mengaku dari Ibu Pejabat Pos Malaysia kira-kira jam 2 petang, semalam.
Katanya, pemanggil mendakwa mangsa membuat penghantaran dua kad mesin juruwang automatik (ATM) serta satu buku cek dan token bank kepada seorang individu.
"Mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilan telefon berkenaan disambungkan kepada seorang 'pegawai polis' yang memperkenal dirinya sebagai Inspektor Maria dan bertugas di Bukit Aman.
"Inspektor Maria kemudian memaklumkan mangsa, dia terbabit sindiket pengubahan wang haram dan mangsa diminta memindahkan wang simpanannya ke akaun lain untuk tujuan siasatan.
"Pada hari yang sama, mangsa diarahkan membuat lima kali pindahan wang ke dalam beberapa akaun bank yang diberikan oleh pihak sindiket berjumlah RM95,700," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Eng Lai, mangsa hanya menyedari dirinya diperdaya selepas menceritakan perkara ini kepada rakannya.
Eng Lai memaklumkan pihaknya menerima satu laporan polis daripada wanita itu semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. BH