Nelayan darat terima Bantuan Khas Aidilfitri mulai hari ini
KUALA SELANGOR — Seramai 3,394 nelayan darat menerima Bantuan Khas Aidilfitri Tahun 2023, sebanyak RM200 seorang bermula hari ini bertujuan membantu kumpulan sasar terbabit membuat persiapan Aidilfitri.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, seramai 3,394 penerima terdiri daripada nelayan darat yang aktif menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan sungai termasuk tasik, bekas lombong, empangan dan lain-lain perairan umum di seluruh Malaysia menerima bantuan itu.
Beliau berkata, sebanyak RM678,800 diperuntukkan bagi tujuan itu dan akan mula disalurkan kepada penerima yang layak bermula hari ini.
"Merujuk kepada Sumber Perangkaan DOF 2021, Industri Perikanan negara menyumbang sebanyak RM14.5 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
"Sektor ini menyokong seramai 128,148 nelayan laut, 18,297 penternak akuakultur dan 3,394 nelayan darat yang produktif," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa perikanan darat menyumbang pendaratan ikan dari sungai sebanyak 3,843 tan metrik yang bernilai RM79juta.
"Perikanan darat turut menyumbang pendaratan ikan dari bekas lombong sebanyak 384 tan metrik yang bernilai RM1.9 juta.
"Pendaratan ikan dari empangan 619 tan metrik dengan nilai RM7.5 juta manakala pendaratan ikan dari lain-lain sumber 4.87 tan metrik bernilai RM390,000," katanya. BH
