LABUAN — Polis semalam menahan pemandu yang tular menumbuk beberapa kali muka seorang lelaki ketika berada di jalan raya dekat lampu isyarat Jalan Patau-Patau, di sini, 12 April lalu.
Suspek berusia 22 tahun itu ditahan selepas mangsa tampil membuat laporan, sejurus kejadian dia ditumbuk oleh suspek terbabit.
Mangsa seterusnya dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila, berkata dalam kejadian itu suspek yang keluar daripada kereta bertindak menumbuk ke muka mangsa beberapa kali.
Katanya, suspek dipercayai bertindak demikian kerana marah berkaitan dengan penggunaan isyarat lampu kenderaan sebelum masuk ke jalan sebelah kanan.
"Akibat kejadian itu, mangsa luka pada dahi, pendarahan pada hidung dan sakit pada bahagian mata. Kenderaan mangsa juga mengalami kerosakan.
"Isteri mangsa turut ada bersama pada masa kejadian menyebabkan mangsa ketakutan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad berkata, pada jam 3.45 petang semalam, polis menahan suspek untuk siasatan lanjut bersabit kes yang disiasat.
"Dengan penahanan suspek, maka kes ini telahpun selesai," katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 45 saat menunjukkan seorang lelaki keluar dari kereta lalu menuju ke kenderaan mangsa dan berlaku pertengkaran sebelum suspek didakwa menumbuk muka mangsa beberapa kali hingga cedera dan berdarah. BH