![]() |
(Foto hiasan) |
ALOR GAJAH — Labur wang lebih RM78,000 tetapi pulangan diterima hanya RM46. Itu nasib seorang guru wanita yang diperdaya sindiket 'Job Scam' yang menawarkan pekerjaan tidak wujud secara dalam talian, akhir tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata mangsa berusia 27 tahun dan mengajar teknologi maklumat (IT) di sebuah syarikat swasta di daerah ini.
Katanya, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita dikenali 'Yasmin' (suspek) daripada sebuah syarikat pada 31 Mac lalu, jam 5.57 petang yang menawarkan kerja membuat ulasan di tempat-tempat di dalam Google Maps.
"Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu bersetuju dan mula bekerja seperti diarahkan.
"Ketika menjalankan tugas mangsa diarah membuat bayaran ke dalam satu akaun bank kononnya untuk membantu meningkatkan keyakinan terhadap syarikat berkenaan.
"Tanpa mengesyaki apa-apa mangsa membuat pindahan wang miliknya secara berperingkat berjumlah RM78,000 ke dalam akaun bank diberikan suspek dari 1 hingga 2 April lalu sebelum menyedari ditipu," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Arshad berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Katanya, siasatan mendapati setakat laporan dibuat mangsa hanya dibayar RM46 dan dijanjikan akan dibayar lagi kemudian. BH