AMPANG — Seorang kontraktor didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini, kerana menyerahkan kad perniagaan ada gelaran Datuk yang tidak diiktiraf pada namanya.
Bagaimanapun, Mohamed Rafi Mohamed Hanifa, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Amalina Basirah Md Top.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyerahkan kad perniagaan yang tertera nama Datuk Mohamed Rafi Mohamed Hanifa kepada seorang wanita berusia 50 tahun yang mana gelaran Datuk tidak diiktiraf mempamer jata negara dan darjah kebesaran.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat sebuah firma guaman, Off Ampang Point, di sini, jam 10 pagi pada 5 Oktober 2019, mengikut Seksyen 3 (1)(a) Akta Lambang dan Nama (mencegah penggunaan tidak wajar) 1963 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5 akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran, menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam bela Mohamed Rafi, Uma Gunaseelan memohon jaminan rendah atas alasan anak guam penanggung tunggal keluarga dan tiada potensi melarikan diri.
Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Mei depan untuk sebutan semula kes. BH