![]() |
Pasar Bongo Bazar menjual pakaian yang dihasilkan di kilang pakaian bandar tetapi gagal memenuhi piawaian eksport. (AFP) |
DHAKA — Beratus-ratus anggota bomba Bangladesh dikerah di ibu negara Dhaka pada Selasa untuk memerangi api yang melanda pasar pakaian popular dan menyelubungi kawasan kejiranan tertua di bandar itu dengan asap hitam.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini, tetapi pemilik kedai dan pegawai bomba memberitahu pemberita bahawa Bongo Bazar dan tiga kawasan komersial bersebelahan hampir musnah sepenuhnya.
"Kira-kira 600 anggota bomba ...sedang berusaha untuk mengawal api," kata jurucakap bomba Rakibul Islam, sambil menambah bahawa kebakaran bermula sekitar subuh.
Jurucakap tentera berkata dalam satu kenyataan bahawa sebuah helikopter tentera udara telah menyertai usaha memadam kebakaran.
Rakaman udara dari helikopter itu menunjukkan ratusan orang memerhatikan kebakaran dari jejantas berhampiran.
Pasar itu ialah destinasi popular untuk jenama fesyen Barat yang murah seperti Tommy Hilfiger, menjual pakaian yang dihasilkan di kilang pakaian di bandar itu tetapi gagal memenuhi piawaian eksport.
Pemilik kedai yang kecewa memberitahu pemberita kebakaran itu menyebabkan mereka melarat menjelang Aidilfitri, perayaan umat Islam menandakan berakhirnya Ramadan dan perayaan keagamaan terbesar di negara ini.
“Saya meminjam 1.5 juta taka ($14,100) untuk membeli pakaian hari raya,” kata seorang pemilik perniagaan. "Saya telah kehilangan segala-galanya." AN memetik AFP