Kari ayam tercemar, peniaga kena denda RM1,000
MUAR — Seorang peniaga makanan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan menyediakan kari ayam tercemar.
Nur'aisyah Ismail, 64, turut diperintahkan dipenjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan.
Majistret Nurfarah Syuhadah Mohd Noh menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Nur'aisyah mengaku bersalah menyediakan makanan sedia dimakan yang tercemar dengan mikroorganisme patogenik 'Coagulase positive staphylococci' di restoran di Jalan Arab, di sini, jam 3 petang, 24 Oktober 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 397(1) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 397(2) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai pendakwa dari Pejabat Kesihatan Muar, Muhamad Shah Hanadi Khairul Anuar memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan orang awam.
Bagaimanapun, Nur'aisyah yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman denda rendah kerana sedar kesalahan dilakukan dan berjanji lebih berhati-hati serta tidak akan mengulangi kesalahan pada masa akan datang. BH