Langkau ke kandungan utama

Kadar pemberhentian tinggi kakitangan Prasarana membimbangkan - Loke

(Foto hiasan)

SUBANG JAYA — Kementerian Pengangkutan mengakui kadar pemberhentian agak tinggi dalam kalangan kakitangan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sebagai situasi yang membimbangkan.

Justeru, Menterinya, Anthony Loke, berkata pihaknya percaya terdapat keperluan supaya gaji dan faedah kakitangan Prasarana dikaji semula bagi memastikan mereka memperoleh bayaran setanding pasaran.

Ini kerana, katanya, kajian mendapati sebahagian besar mereka terutama dari bahagian teknikal yang meninggalkan syarikat itu sebelum ini, lebih tertarik dengan tawaran yang diberikan negara luar termasuk di Singapura.

"Pada 2022 seramai 836 kakitangan Prasarana meletak jawatan, satu 'turnover rate' (kadar pemberhentian) yang agak tinggi. Untuk Rapid Rail adalah enam peratus, manakala Rapid Bus mencecah 11 peratus. Ini situasi membimbangkan.

"Majoriti mereka meninggalkan Prasarana adalah kakitangan teknikal dan kapten bas yang tertarik dengan tawaran lebih lumayan oleh pengusaha bas dan rel di dalam dan luar negara termasuk Singapura dan Timur Tengah.

"Menjadi tanggungjawab Prasarana dan kerajaan untuk memastikan kebajikan pekerja berkemahiran tinggi sentiasa dijaga, di mana terdapat keperluan untuk mengkaji semula gaji dan faedah sedia ada supaya setanding pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Rapid Rail di sini hari ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa melawat Kompleks Penyelenggaraan Laluan Kelana Jaya untuk melihat sendiri kerja penyelenggaraan tren dan bersama dengan kakitangan teknikal Rapid Rail.

Dalam pada itu, beliau berkata, langkah menilai semula bayaran gaji dan faedah khususnya membabitkan kumpulan mahir ini penting bagi memastikan persediaan lebih baik kepada mereka, selain mewujudkan daya saing dalam syarikat.

Enam insentif penambaikan faedah kakitangan Prasarana

Sementara itu, Loke pada majlis sama turut mengumumkan enam insentif penambahbaikan faedah kepada kakitangan Prasarana termasuk kenaikan gaji kepada kakitangannya sebanyak empat hingga 10 peratus berdasarkan skor prestasi kerja.

"Selain itu, penambahbaikan kadar elaun syif sebanyak 36.3 peratus daripada RM11 kepada RM15 sehari bagi syif siang dan 53.8 peratus iaitu daripada RM13 kepada RM20 sehari bagi syif malam, dilaksana khususnya kepada kumpulan barisan hadapan dan kakitangan bukan eksekutif membabitkan 2,800 warga Prasarana.

"Khas buat warga Rapid Bas, penambahbaikan kadar elaun pemanduan sebanyak RM10 sehari akan memberi manfaat kepada 2,300 kapten bas.

"Penambahbaikan ini menyumbang kepada peningkatan purata pendapatan kasar bulanan kapten bas sebanyak RM220," katanya.

Turut diumumkan, pelaksanaan elaun pasaran interim dengan kadar minimum RM200 bagi kumpulan teknikal terdiri juruteknik kanan dan jurutera seramai 590 kakitangan.

"Saya juga difahamkan Lembaga Pengarah sudah meluluskan kenaikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan daripada 15 peratus kepada 16 peratus bagi pekerja yang sudah berkhidmat lima tahun dan ke atas.

"Selain itu, penambahbaikan manfaat perlindungan perubatan bagi kemasukan ke hospital daripada perlindungan individu kepada perlindungan keluarga di semua peringkat juga sudah diluluskan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kadar penggunaan pengangkutan awam negara mencatatkan peningkatan semakin baik, sekali gus menunjukkan pemulihan kembali industri selepas terkesan teruk dengan COVID-19.

"Saya dimaklumkan pada 21 Mac lalu, jumlah penggunaan harian rel and bas sudah mencecah lebih sejuta orang. Ini pencapaian memberangsangkan bukan saja buat Prasarana tetapi juga kementerian," katanya. BH

Catatan popular daripada blog ini

5 penderma teratas dana gempa Turkiye

Khemah bagi orang terlantar berikutan gempa bumi di Adiyaman, tenggara Turkiye, 25 Mac 2023. (AFP) RIYADH — Pejabat PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan pada Jumaat mengucapkan terima kasih kepada Arab Saudi dan negara penderma lain yang menyumbang untuk meningkatkan lebih satu perempat daripada rayuan kilat dikeluarkan oleh PBB berikutan gempa bumi dahsyat di Turkiye, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA). PBB berkata ia telah mengumpulkan $268 juta sebagai tindak balas kepada rayuan dana kemanusiaan $1 bilion untuk kerja bantuan di Turkiye berikutan gempa bumi 7.8 magnitud pada 6 Februari dan gegaran susulannya yang memusnahkan sebahagian besar Turkiye tenggara dan sebahagian Syria yang dilanda perang. Jurucakap Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Jens Laerke berkata, 27 peratus daripada rayuan telah dibiayai dan penderma terbesar ialah Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS), Kuwait, Suruhanjaya Eropah dan Tabung Tindak Balas Kecemasan Pusat PBB, sambil menggesa negara-negara u...

Perkhidmatan pengintip Rusia berkata, AS latih militan untuk menyerang Rusia

MOSCOW — Perkhidmatan perisik asing Rusia berkata pada Isnin, ia telah menerima risikan bahawa tentera AS sedang melatih militan Islam untuk menyerang sasaran di Rusia dan bekas Kesatuan Soviet. Perkhidmatan Perisikan Asing Rusia, diketuai oleh sekutu Presiden Vladimir Putin, berkata ia mempunyai risikan bahawa 60 militan seperti itu daripada kumpulan yang bergabung dengan Daesh dan Al-Qaeda telah direkrut dan sedang menjalani latihan di pangkalan Amerika di Syria. “Mereka akan ditugaskan untuk menyediakan dan melakukan serangan pengganas terhadap diplomat, penjawat awam, pegawai penguatkuasa undang-undang dan anggota angkatan tentera,” kata Perkhidmatan Perisikan Asing, dikenali SVR. "Perhatian khusus diberikan untuk menarik pendatang dari Caucasus Utara Rusia dan Asia Tengah," kata SVR dalam satu kenyataan. Agensi itu tidak menerbitkan risikan di sebalik dakwaannya dan Reuters tidak dapat mengesahkannya secara bebas. SVR, pernah menjadi sebahagian darip...

Tahi itik, jala emas, buah tanjung tetap jadi pilihan Ramadan di Kelantan

Tahi itik - (Foto Wikipedia) KOTA BHARU — Kuih tradisi Kelantan seperti tahi itik, jala emas dan buah tanjung tetap menjadi pilihan utama orang ramai di negeri ini, untuk dijadikan juadah manisan untuk berbuka puasa setiap kali Ramadan. Pengusaha kuih tradisional, Mohammed Omar, 65, berkata permintaan bagi semua kuih berkenaan meningkat berbanding hari biasa menyebabkan dia tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang datang membelinya di rumah. Katanya, setiap hari dia memerlukan 3,000 biji telur ayam untuk membuat tiga jenis kuih tradisional iaitu jala emas dan buah tanjung yang menggunakan seratus peratus telur kuning, manakala telur putih digunakan untuk membuat kuih tahi itik. "Saya sudah lebih 20 tahun berniaga menjual kuih bersama arwah isteri, Fatimah Nik Salleh yang meninggal dunia tujuh tahun lalu dan resepi untuk membuat semua kuih ini adalah daripadanya yang memiliki rasa sedap serta tidak terlalu manis dan rasa itu dikekalkan sehingga ke hari ini. ...