BENTONG — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan Op Bersepadu sempena Aidilfitri, bermula 18 hingga 27 April ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pemantauan akan ditingkatkan di 231 lokasi seluruh negara yang dikenal pasti sebagai 'hotspot' atau kawasan kerap berlaku kemalangan.
"Bagi kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan, biasanya pendekatan digunakan ialah menempatkan kereta peronda untuk mengadakan rondaan supaya dengan kehadiran pegawai penguat kuasa, pemandu akan lebih berhati-hati.
"Saya berharap pengguna akan mematuhi peraturan jalan raya, terutama di kawasan Pahang kerana ia merupakan laluan utama ke Pantai Timur dari Lembah Klang dan sudah tentu berjuta kenderaan akan lalu. Selain itu, kita juga akan melaksanakan larangan terhadap kenderaan berat seperti biasa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pejabat Baharu JPJ Bentong, di Jalan Chamang, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim.
Sementara itu, Loke memaklumkan selain di daerah ini, dua lagi bangunan baharu JPJ sedang dibina di Sarikei, Sarawak, dan Muar, Johor.
Mengenai pembinaan cawangan baharu JPJ Bentong pula, beliau dalam ucapannya berkata, ia bertujuan menggantikan pejabat sedia ada di Taman Datuk Shah Bandar Hussin, yang telah beroperasi sejak 1983.
Beliau menjelaskan, pejabat yang beroperasi di bangunan kedai itu sudah daif, sekali gus tidak dapat menampung kunjungan orang awam mencecah 180 pelanggan setiap hari atau 50,000 pelanggan setahun.
Justeru, katanya, kerajaan meluluskan pembinaan bangunan berkonsepkan pejabat pintar di tapak berkeluasan kira-kira 0.6474 hektar dengan peruntukan RM10.4 juta bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan dijangka siap pada April 2025.
Hanya terletak kira-kira satu kilometer dari pusat bandar Bentong, pejabat baharu yang mudah diakses itu dapat memanfaatkan hampir 120,000 penduduk daerah ini serta masyarakat sekitar, selain kakitangan JPJ sendiri.
"Kerajaan sedar bagi memastikan JPJ boleh memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, di samping memperkasakan aspek digital, infrastruktur sewajarnya juga harus disediakan supaya tadbir urus JPJ kekal mantap dan relevan," katanya. BH