Jengkaut terbalik, 2 pekerja warga Bangladesh maut


IPOH — Dua pekerja warga Bangladesh maut selepas jengkaut yang dikendalikan mereka terbalik ketika sedang melakukan kerja pengkuarian di sebuah kuari di Keramat Pulai, Kampung Kepayang, Simpang Pulai, di sini, malam tadi.

Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Mohd Sapri Yeop Mohammad, berkata sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan melalui Pusat Gerakan Operasi (PGO) jam 8.17 malam tadi.

Beliau berkata, mangsa yang maut adalah dua lelaki warga Bangladesh berusia antara 30 hingga 40 tahun.

"Kemalangan membabitkan sebuah jengkaut yang terbalik ketika sedang melakukan kerja di kuari itu yang mana terdapat dua mangsa terperangkap.

"Anggota bomba yang tiba di lokasi mengeluarkan mayat mangsa menggunakan peralatan khas, selain bantuan jengkaut lain milik pihak kilang di kuari berkenaan.

"Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 9.55 malam," katanya dalam satu kenyataan. BH