![]() |
(Foto hiasan) |
GEORGETOWN — Jabatan Imigresen mengeluarkan 2.8 juta pasport pasca-COVID-19, peningkatan empat kali ganda berbanding tempoh sebelum itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, 45 peratus memohon pasport secara dalam talian yang hanya mengambil masa tiga minit sebelum mengambil pasport antara dua hingga tiga hari.
"Saban hari, Imigresen berdepan dengan kehadiran orang ramai dan kesesakan, tapi bukanlah semua pejabatnya.
"Sejak tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sempadan dibuka, contoh macam di Perlis pihak imigresen mengeluarkan 20 hingga 30 pasport setiap hari, namun di Damansara, Shah Alam dan Kelana Jaya, kita keluarkan (pasport) berlipat kali ganda, maka berlaku kesesakan di sana," katanya kepada pemberita di sini, malam ini.
Beliau ditemui selepas hadir pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN) MADANI yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh; dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Saifuddin Nasution yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkata, Imigresen akan memperkenalkan projek perintis bagi mengatasi kesesakan di pejabat pengeluar pasport tertentu.
Katanya, ia membabitkan membuka permohonan untuk dalam talian dan pengambilan pasport sahaja, susulan liputan Internet yang meluas di kawasan terbabit.
"Projek ini sedang diperhalusi dan kita akan laksanakan selepas semuanya selesai dan untuk permulaan ia akan membabitkan pejabat pengeluar pasport di Lembah Klang yang sering sesak dan seterusnya mungkin diperluaskan ke tempat lain.
"Kita ada 77 pejabat pengeluar pasport di seluruh negara dan 21 daripadanya mengalami kesesakan teruk sebelum ini sehingga kita terpaksa tambah waktu bekerja termasuk Sabtu dan Ahad, ia membantu sedikit mengurangkan kesesakan," katanya.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 395,000 aduan di seluruh negara setiap bulan dan sedaya upaya menyelesaikannya.
"Dalam perbincangan dengan Ketua Polis Negara, saya selalu tekankan untuk mengambil tindakan segera aduan membabitkan isu keselamatan negara dan perkara yang mencabar atau menghina agama, kaum, negara dan institusi diraja.
"Kita juga tak lupa aduan biasa seperti jenayah atau jenayah indeks," katanya. BH memetik BERNAMA