Hanya yang mencurigakan akan ditahan, diperiksa polis - KPN
![]() |
| Acryl Sani pada program Singgah Sahur bersama pegawai dan anggota MPV dan URB, Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di ibu negara, pagi tadi. (Foto NSTP) |
KUALA LUMPUR — Pemeriksaan serta penahanan yang dilakukan pihak polis akan menyasarkan terhadap individu yang disyaki melakukan kesalahan dan bukannya dilakukan secara semberono.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata ia adalah bagi menghakis stigma dan pandangan negatif masyarakat apabila melihat polis melakukan pemeriksaan dan penahanan di tempat awam.
Katanya, saranan ini ditujukan kepada semua yang melakukan penguatkuasaan pasukan terutama Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Unit Kereta Peronda Polis (MPV), anggota Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik dan anggota rondaan jalan kaki.
"Kita nak hapuskan perasangka dan stigma negatif masyarakat terhadap polis, supaya apabila unit-unit penguatkuasaan polis ini menahan dan melakukan pemeriksaan terhadap sesebuah kenderaan atau pejalan kaki, maka masyarakat akan sedar dan faham bahawa tindakan polis itu adalah demi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan kekal terpelihara.
"Justeru, kita tidak mahu lagi masyarakat mengganggap bahawa setiap tindakan polis menahan dan memeriksa sama ada kenderaan atau individu pejalan kaki atas sebab-sebab lain yang berbentuk negatif sehingga boleh menjatuhkan maruah dan imej setiap warga polis," katanya pada program Singgah Sahur bersama pegawai dan anggota MPV dan URB, Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pagi tadi.
Acryl Sani kata tindakan menahan dan memeriksa kenderaan atau pejalan kaki harus berdasarkan sebab yang kukuh bahawa individu berkenaan harus diperiksa kerana berada dalam keadaan mencurigakan atau dikesan sudah melakukan kesalahan.
"Setiap pegawai dan anggota polis ini kena pamerkan kepada masyarakat sekeliling bahawa tindakan mereka menahan adalah kerana sebab tertentu yang boleh mendatangkan bahaya atau ancaman kepada orang ramai.
"Apabila langkah ini dijayakan, saya yakin tahap kepercayaan masyarakat kepada polis bahawa penugasan yang dilaksanakan adalah penuh kejujuran dan keikhlasan kepada masyarakat selain lebih bertanggungjawab," katanya.
Acryl Sani turut memberikan contoh, tugas kepolisan berbentuk sama di negara-negara maju yang lain adalah berbeza dengan apa yang dilakukan di Malaysia pada masa ini.
"Kalau kita pergi luar negara, jarang kita melihat polis mereka menahan dan memeriksa orang sewenang-wenangnya terutama warga asing dan bukan disebabkan kita melakukan tindakan menahan itu kerana kita mempunyai kuasa sebagai polis.
"Justeru, apa yang ingin saya tegaskan di sini bahawa kita harus pamerkan cara kerja berdasarkan pemerhatian profesional sebelum sesuatu tindakan dibuat dalam memelihara keselamatan dan jenayah sekaligus meningkatkan imej kita di mata masyarakat dan pelancong asing," katanya.
Pada majlis sama, Acryl turut mengingatkan setiap pegawai dan anggota URB dan MPV yang beragama Islam untuk tetap menunaikan solat lima waktu semasa melaksanakan tugas yang diberikan.
"Dalam menjalankan tugas mereka juga tidak harus sesekali melupakan tanggungjawab sebagai seorang Islam. Kita tidak mahu kerana sibuk bertugas mereka lupa menunaikan solat," katanya. BH
