DAKAR — Hampir sejuta kanak-kanak di wilayah Sahel di Afrika akan menghadapi kekurangan zat makanan akut yang teruk tahun ini di tengah-tengah harga makanan yang tinggi, konflik dan perubahan iklim, UNICEF memberi amaran pada Jumaat.
“Dianggarkan 970,000 kanak-kanak bawah 5 tahun dari tiga negara Sahel tengah Afrika Barat (Burkina Faso, Mali dan Niger) akan menghadapi penyusutan badan teruk tahun ini,” kata agensi kanak-kanak PBB dalam satu kenyataan.
Ketiga-tiga negara itu miskin, terkurung daratan dan memerangi pemberontakan jihad.
Niger dijangka menghadapi beban paling tinggi, dengan 430,000 kanak-kanak dianggarkan terjejas, penurunan 14 peratus daripada jumlah keseluruhan 2022 hasil usaha kerajaan.
Di Mali, 367,000 kanak-kanak diramalkan menghadapi penyusutan badan teruk, meningkat lebih 18 peratus daripada tahun lepas.
“Ketidakamanan dan konflik yang semakin meningkat bermakna kerentanan semakin meningkat di rantau ini, dan semakin sukar untuk membantu komuniti di kawasan terpencil,” Pengarah Serantau UNICEF untuk Afrika Barat dan Tengah, Marie-Pierre Poirier, berkata dalam kenyataan itu.
Agensi PBB berkata data menunjukkan peningkatan penyusutan badan kanak-kanak di seluruh Sahel pada 2023, termasuk di bahagian Benin, Burkina Faso, Cameroon, Mali, Mauritania, Senegal dan Togo.
Ia menyeru kerajaan untuk meletakkan pemakanan kanak-kanak "yang tinggi dalam agenda keutamaan negara" dan meningkatkan pelaburan negara dalam pencegahan awal, pengesanan dan rawatan kekurangan zat makanan kanak-kanak. AN memetik AFP