Kemalangan di KM 47, Jalan Alor Setar-Butterworth, tengah malam tadi, menyebabkan seorang pemandu Proton Saga, maut. (Foto NSTP) |
SUNGAI PETANI — Dua maut manakala dua lagi parah selepas terbabit dalam dua kemalangan berasingan di daerah ini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata dalam nahas pertama di Jalan Lencong Barat, Sungai Petani, seorang lelaki berusia 49 tahun meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan, pada jam 11.31 malam.
Beliau berkata, mangsa yang menetap di Kampung Penghulu Him itu mengalami kecederaan serius pada kepala.
Katanya, kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal Modenas Kriss, sebuah motosikal BMW S1000 dan sebuah kereta Volkswagen Golf.
"Siasatan awal di lokasi mendapati, ketiga-tiga kenderaan terbabit dipercayai bergerak di lorong paling kanan dari arah Semeling menghala ke Sungai Jagung.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Volkswagen itu tidak nampak dan terlanggar belakang motosikal yang ditunggangi mangsa yang dipercayai tiada lampu belakang.
"Kemudian, datang motosikal BMW S1000 yang ditunggangi lelaki berusia 25 tahun dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu terlanggar pula motosikal mangsa yang sudah terjatuh," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Akibat kemalangan, kedua-dua penunggang motosikal itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.
Zaidy berkata, namun pada jam 12.05 tengah malam tadi, pejabat pertanyaan telah dimaklumkan oleh pondok HSAH yang penunggang motosikal Modenas Kriss itu sudah meninggal dunia.
Beliau berkata, mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik HSAH untuk ujian saringan COVID-19 dan bedah siasat.
Dalam nahas berasingan, Zaidy berkata, seorang lelaki berusia 30 tahun maut selepas kereta Proton Saga yang dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta BMW 330E yang dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun.
Beliau berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 12.55 tengah malam di Kilometer 47 Jalan Alor Setar-Butterworth.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga itu dipercayai termasuk ke laluan bertentangan lalu berlaku perlanggaran secara berhadapan.
"Akibat kemalangan, pemandu kereta yang juga pekerja kontraktor itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta BMW itu dibawa ke Hospital Pantai Amanjaya untuk dirawat, " katanya.
Zaidy berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. BH