MELAKA — "Ini mungkin rezeki saya selepas berbelanja lebih RM800 membeli pakaian raya untuk keluarga termasuk kedua ibu bapa saya," kata konstabel polis, Muhamad Sharul Aiemi Abdullah, 21, dari Lorong Pandan di sini, yang memenangi cabutan bertuah kereta Proton Persona bernilai RM49,242 malam tadi.
Muhamad Sharul Aiemi berkata, beliau membelikan pakaian Aidilfitri keluarganya termasuk baju kurta untuk dua adik lelaki berusia sembilan dan 14 tahun di bazar Jalan Hang Tuah, di sini, pada 2 April lalu sebelum menerima tiket cabutan bertuah.
Katanya, beliau yang pada awalnya mengabaikan tiket cabutan bertuah itu, akhirnya mengisi borang diberikan selepas didesak ibu bapanya untuk mencuba nasib kerana menepati syarat ditetapkan.
"Memang saya tak sangka boleh menang kereta ini, mungkin ini rezeki selepas saya berbelanja untuk keluarga, selain berkat doa ibu bapa yang meminta saya mengisi borang cabutan bertuah itu," katanya.
Muhamad Sharul Aiemi yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu diumum pemenang cabutan bertuah Melaka Grand Ramadan Bazar @Jalan Hang Tuah (MELGRAB) dan menerima replika kunci kereta Proton Persona 1.6L Standard CVT disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, malam tadi.
Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.
Beliau yang bertugas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Air Hitam, Jempol, Negeri Sembilan, berkata dia terkejut apabila dihubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem memaklumkan dia pengunjung paling bertuah bazar itu pada tahun ini.
"Ketika panggilan diterima, saya sedang bertugas ketika itu dan memang tidak percaya serta menyangka ia panggilan scammer.
"Apabila pulang ke rumah dan melihat aplikasi TikTok secara langsung, barulah saya percaya dan terus balik ke Melaka kerana penganjur maklumkan hari ini (semalam) untuk penyampaian hadiah," katanya.
Muhamad Sharul Aiemi berkata, dia memang berhasrat membeli kereta baharu bagi kemudahan keluarganya memandangkan Perodua Myvi milik bapanya sudah lama.
"Saya menggunakan motosikal dan merancang membeli kereta untuk kegunaan keluarga. Syukur Allah mempercepatkan impian saya.
"Raya ini dapatlah kami sekeluarga pulang berhari raya di Muar, Johor menaiki kereta baharu yang lebih selesa," katanya. BH