![]() |
(Foto hiasan) |
Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini terhadap lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta antara 2013 dan 2017.
Azlan, 64, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.
Mengikut pertuduhan, Azlan sebagai ejen kerajaan negeri Perlis iaitu Menteri Besar Perlis didakwa menggunakan beberapa dokumen mengandungi butiran palsu bagi membuat tuntutan kemudahan Cuti Seberang Laut ke London, United Kingdom sedangkan tidak ada perjalanan seperti yang dituntut itu.
Dokumen itu antaranya invois dan sebut harga tiket penerbangan pergi balik dan hotel penginapan yang dikeluarkan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd, selain Pesanan Kerajaan Negeri Perlis (borang AM 75E) yang didakwa digunakan bagi membuat tuntutan kos tiket penerbangan hotel penginapan dan pengangkutan.
Semua kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Kompleks Dewan Undangan Negeri Persiaran Wawasan, Kangar antara Disember 2013 hingga Disember 2017.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Sabit kesalahan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Azlan diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib.
Ahmad Akram dalam hujahannya memohon mahkamah supaya dapat memberikan satu jaminan yang maksimum kepada tertuduh iaitu RM50,000 dengan seorang penjamin serta pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Dia turut memohon supaya kes itu dipindahkan ke mahkamah di Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan pertuduhan.
Bagi Burhanudeen pula, dia bersetuju dengan permohonan daripada pihak pendakwaan memandangkan anak guamnya sudah menjalankan tugas sebagai Menteri Besar sebelum ini malah dia turut tidak membantah pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah kemudian membenarkan Azlan dikenakan jaminan RM50,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan passport perlu diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan 12 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Kuala Lumpur.
Selain itu Azlan juga dijangka menghadapi pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 Rabu ini.
Sumber — media tempatan