Langkau ke kandungan utama

Aidilfitri: PDRM laksana Op Lancar, Selamat Selasa ini

KUALA LUMPUR — Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Op Lancar pada Selasa dan Rabu ini bagi memastikan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata fokus Op Lancar adalah di semua kawasan yang dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas akibat pergerakan pengguna jalan raya.

Katanya, seluruh jentera PDRM di lapangan akan diatur gerak membabitkan anggota balai dan elemen kereta peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB), rondaan bit serta risikan, selain mendapatkan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi melancarkan aliran trafik .

"Ia akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta jalan perbandaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Acryl Sani berkata selain Op Lancar, PDRM juga akan melaksanakan Op Selamat ke-20 bermula 20 hingga 27 April bertemakan 'Rumah Selamat, Sampai Ke Destinasi' bagi memastikan keselesaan rakyat menyambut Aidilfitri kali ini.

Katanya, fokus utama operasi itu adalah untuk memastikan aliran trafik lancar, meminimumkan kes kemalangan jalan raya, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan.

"Dalam Op Selamat ini, PDRM akan memfokuskan kepada pengurangan kadar jenayah harta benda seperti kes pecah rumah melalui elemen MPV, URB serta rondaan bit yang akan diatur gerak secara holistik dan sistematik di taman perumahan, premis perniagaan dan pusat ibadat yang menjadi tumpuan orang ramai, selain mengurangkan beban kesesakan.

"Selain itu, pemantauan udara oleh unit dron Pasukan Gerakan Udara turut dijalankan bagi memantau dan mengesan lokasi titik panas yang telah dikenal pasti, seterusnya menyalurkan info tersebut kepada elemen di lapangan untuk tindakan," katanya.

Acryl Sani meminta pengguna jalan raya agar peka dengan informasi terkini berkaitan aliran trafik semasa melalui portal dan saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia serta pihak konsesi lebuh raya, selain menggunakan aplikasi navigasi bagi merancang perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Menurutnya, keprihatinan pengguna jalan raya untuk bersama-sama menyalurkan sebarang maklumat sama ada melalui rakaman video atau gambar mengenai tingkah laku pengguna kenderaan yang melanggar peraturan dan undang-undang, juga amat dipuji serta dihargai.

"PDRM menasihatkan pengguna jalan raya agar bertimbang rasa dalam pergerakan lalu lintas, sentiasa berhemah, berhati-hati dan fokus di dalam pemanduan sepanjang masa agar Hari Raya Aidilfitri dapat disambut dalam suasana kekeluargaan dan kesejahteraan," katanya. BH

Catatan popular daripada blog ini

5 penderma teratas dana gempa Turkiye

Khemah bagi orang terlantar berikutan gempa bumi di Adiyaman, tenggara Turkiye, 25 Mac 2023. (AFP) RIYADH — Pejabat PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan pada Jumaat mengucapkan terima kasih kepada Arab Saudi dan negara penderma lain yang menyumbang untuk meningkatkan lebih satu perempat daripada rayuan kilat dikeluarkan oleh PBB berikutan gempa bumi dahsyat di Turkiye, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA). PBB berkata ia telah mengumpulkan $268 juta sebagai tindak balas kepada rayuan dana kemanusiaan $1 bilion untuk kerja bantuan di Turkiye berikutan gempa bumi 7.8 magnitud pada 6 Februari dan gegaran susulannya yang memusnahkan sebahagian besar Turkiye tenggara dan sebahagian Syria yang dilanda perang. Jurucakap Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Jens Laerke berkata, 27 peratus daripada rayuan telah dibiayai dan penderma terbesar ialah Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS), Kuwait, Suruhanjaya Eropah dan Tabung Tindak Balas Kecemasan Pusat PBB, sambil menggesa negara-negara u...

Perkhidmatan pengintip Rusia berkata, AS latih militan untuk menyerang Rusia

MOSCOW — Perkhidmatan perisik asing Rusia berkata pada Isnin, ia telah menerima risikan bahawa tentera AS sedang melatih militan Islam untuk menyerang sasaran di Rusia dan bekas Kesatuan Soviet. Perkhidmatan Perisikan Asing Rusia, diketuai oleh sekutu Presiden Vladimir Putin, berkata ia mempunyai risikan bahawa 60 militan seperti itu daripada kumpulan yang bergabung dengan Daesh dan Al-Qaeda telah direkrut dan sedang menjalani latihan di pangkalan Amerika di Syria. “Mereka akan ditugaskan untuk menyediakan dan melakukan serangan pengganas terhadap diplomat, penjawat awam, pegawai penguatkuasa undang-undang dan anggota angkatan tentera,” kata Perkhidmatan Perisikan Asing, dikenali SVR. "Perhatian khusus diberikan untuk menarik pendatang dari Caucasus Utara Rusia dan Asia Tengah," kata SVR dalam satu kenyataan. Agensi itu tidak menerbitkan risikan di sebalik dakwaannya dan Reuters tidak dapat mengesahkannya secara bebas. SVR, pernah menjadi sebahagian darip...

Tahi itik, jala emas, buah tanjung tetap jadi pilihan Ramadan di Kelantan

Tahi itik - (Foto Wikipedia) KOTA BHARU — Kuih tradisi Kelantan seperti tahi itik, jala emas dan buah tanjung tetap menjadi pilihan utama orang ramai di negeri ini, untuk dijadikan juadah manisan untuk berbuka puasa setiap kali Ramadan. Pengusaha kuih tradisional, Mohammed Omar, 65, berkata permintaan bagi semua kuih berkenaan meningkat berbanding hari biasa menyebabkan dia tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang datang membelinya di rumah. Katanya, setiap hari dia memerlukan 3,000 biji telur ayam untuk membuat tiga jenis kuih tradisional iaitu jala emas dan buah tanjung yang menggunakan seratus peratus telur kuning, manakala telur putih digunakan untuk membuat kuih tahi itik. "Saya sudah lebih 20 tahun berniaga menjual kuih bersama arwah isteri, Fatimah Nik Salleh yang meninggal dunia tujuh tahun lalu dan resepi untuk membuat semua kuih ini adalah daripadanya yang memiliki rasa sedap serta tidak terlalu manis dan rasa itu dikekalkan sehingga ke hari ini. ...