KUALA LUMPUR — Sembilan syarikat perancangan kewangan diklon untuk mempromosikan skim yang menyalahi undang-undang.
Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa sembilan syarikat terbabit, yang juga ahli persatuan itu telah disalahgunakan oleh pihak lain bagi tujuan pelaburan yang menyalahi undang-undang.
Sembilan syarikat yang diklon untuk mempromosikan skim yang palsu itu adalah Wealth Vantage Advisory Sdn Bhd, Genexus Advisory Sdn Bhd, Excellentte Consultancy Sdn Bhd, Alpine Advisory Sdn Bhd, UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd, CC Advisory Sdn Bhd, Harveston Wealth Management Sdn Bhd, iFast Capital Sdn Bhd dan Kenanga Investors Bhd.
Pihak terbabit, katanya akan menggunakan nama utama syarikat perancangan kewangan dalam syarikat palsu untuk mengelirukan orang ramai, selain membabitkan mereka dalam kumpulan sembang media sosial dengan berpura-pura mewakili syarikat perancangan kewangan yang sah.
Mereka juga, katanya turut menawarkan skim pelaburan meragukan yang menawarkan pulangan tinggi, berkongsi testimoni pelabur palsu untuk menunjukkan bukti resit pemindahan dan membuat keuntungan untuk meraih keyakinan mangsa berpotensi.
"Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dengan skim pelaburan meragukan yang menggunakan nama syarikat perancangan kewangan yang sah," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
FPAM berkata, bagi melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan, FPAM menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) senarai individu berlesen dan berdaftar selain membuat semakan dengan syarikat perancangan kewangan berkenaan sebelum membuat sebarang pembayaran atau pelaburan.
"Mangsa penipuan hendaklah segera melaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dan turut membuat laporan kepada SC," katanya. BH