KUALA LUMPUR — Saringan dijalankan terhadap 1.3 juta pelajar sekolah menengah menerusi program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (KOTAK) tahun lalu mendapati seramai 43,019 pelajar merokok.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata bagi tempoh sama, hasil saringan yang dijalankan terhadap dua juta pelajar sekolah rendah mengesan seramai 341 murid turut terjebak dengan perbuatan itu.
"Murid yang dikenal pasti merokok diberikan intervensi berkenaan rokok, manakala murid yang tidak merokok diberikan pendidikan kesihatan berterusan bagi memastikan mereka kekal tidak merokok," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan N Balasubramaniam yang ingin tahu perkembangan terkini pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Generasi Penamat-Anti-Rokok (GEGAR-18) dan sejauh mana kempen ini berhasil. BH