KUALA LUMPUR — Tiga penganggur didakwa di Mahkamah Majistret hari ini kerana membunuh seorang lelaki dalam pergaduhan di Bangsar dua tahun lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh iaitu G Naresh, 27; K V Pravin, 28 dan S Letchumanan, 30, sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.
Mengikut pertuduhan, semua lelaki terbabit bersama dua lagi yang masih bebas didakwa membunuh M Sanjeet Kumar, 30, di lorong belakang Affin Bank Jalan Telawi 3 di Bangsar, pada 13 Mac 2021.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Pravin and Letchumanan masing-masing diwakili peguam, Datuk Geethan Ram Vincent dan Lavinia Raja, manakala seorang lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sareeka Balakrishnan.
Mahkamah menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula kes dan mengemukakan laporan bedah siasat.
Dalam kejadian 13 Mac 2021, seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas dipercayai terbabit pergaduhan di Jalan Telawi, Bangsar.
Mangsa yang maut dilaporkan sedang berjalan kaki bersama rakannya menuju tempat letak kereta selepas minum di sebuah restoran, sebelum terjumpa suspek yang dipercayai mempunyai dendam lama.
Selepas berlaku pergaduhan, mangsa mengalami kecederaan serius dipercayai akibat ditoreh senjata tajam, selain ditikam dengan botol minuman keras.
Mangsa kemudian melarikan diri ke sebuah pusat beli-belah sebelum terbaring di hadapan sebuah kedai serbaneka dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) oleh rakannya.
Dia kemudian disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di PPUM.
Seorang lagi lelaki berusia 30 tahun pula parah pada muka dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Mangsa dan suspek yang terbabit kejadian ini dilaporkan mengenali satu sama lain dan tinggal di kawasan sekitar Selayang dan Taman Wahyu, di sini.
Satu rakaman video berhubung kejadian pergaduhan itu turut pernah tular di media sosial. BH