![]() |
Foto hiasan |
KOTA BHARU — Setiap kali Ramadan, air nira kurma atau lebih dikenali sebagai "tuak kurma" di sini, menjadi pilihan ramai sebagai minuman untuk berbuka puasa atau ketika moreh selepas solat Tarawih.
Air tuak kurma yang dihasilkan di ladang kurma di Kampung Teras dekat Binjai di sini, diusahakan oleh Mohd Zain Mohamad, 63, mendapat sambutan menggalakkan kerana rasanya enak selain lemak dan manis.
Mohd Zain berkata, ladang kurma dimilikinya mempunyai 400 pokok tumbuhan itu ditanam di atas tanah seluas 0.8 hektar sejak lebih 10 tahun lalu.
Katanya, 400 pokok itu mampu menghasilkan sehingga 60 liter air tuak setiap hari dan dipasarkan di sekitar Kota Bharu dan ada juga diambil oleh pembeli dari Kuala Lumpur sebelum dijual di sana.
![]() |
Mohd Zain menunjukkan tuak kurma dari pokok kurma |
"Bagi menghasilkan minuman ini, pekerja saya akan menarah bahagian batang pokok untuk buat alur bagi mengeluarkan air tuak.
"Kebiasaannya, kerja menarah pokok dilakukan pada waktu malam dan hasilnya dikutip keesokan harinya sebelum ia ditapis serta diletakkan di dalam botol saiz 250 mililiter.
"Alhamdulillah, pokok kurma yang saya tanam ini mampu keluarkan 60 liter tuak setiap hari.
"Air tuak kurma ini sentiasa mendapat sambutan kerana minuman ini, saya buat pada Ramadan sahaja, jadi minuman ini dianggap sebagai unik.
"Disebabkan sukar untuk mendapatkan minuman ini, saya menerima tempahan daripada banyak pihak apabila mereka mahu memborong, namun saya tidak dapat memenuhinya kerana perlu menjaga hati pelanggan tetap yang terdiri daripada penduduk kampung ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Haji Zain berkata, tuak kurma itu dihasilkan daripada pokok kurma jantan yang berusia lima tahun ke atas.
Bapa kepada tujuh anak itu berkata, air tuak itu boleh dikomersialkan, namun bekalan terhad dan hanya dibuat pada Ramadan.
"Pada bulan lain, saya menghasilkan cuka kurma yang turut mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan penggemar kerana ia mempunyai pelbagai khasiat," katanya.
Sumber — BH