Alat permainan seks RM1.1 juta dirampas di Bukit Mertajam
BUTTERWORTH — Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 22,929 alat permainan seks bernilai RM1.1 juta dalam serbuan di sebuah gudang perkakasan di Bukit Mertajam, dekat sini.
Rampasan membabitkan pelbagai jenis barangan seperti patung seks, alat kemaluan lelaki dan wanita yang dilarang penjualannya di negara ini itu susulan serbuan sempena Op Maya kira-kira jam 12 tengah hari pada 15 Februari lalu
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof, berkata susulan Op Maya hasil risikan dan maklumat awam itu, pihaknya turut menahan seorang wanita berusia 29 tahun yang juga pemilik barangan terbabit.
"Hasil siasatan mendapati semua barangan itu dipasarkan dalam talian sejak tahun lalu pada harga antara RM70 hingga RM450 seunit dengan anggaran keuntungan diperoleh dua kali g
"Apa yang membimbangkan, pelanggan yang membeli barangan terbabit cenderung terdiri daripada golongan muda.
"Ini Op Maya siri kedua selepas operasi pertama di Kuala Lumpur membabitkan rampasan bernilai RM160,000 namun kedua-dua kes itu tidak mempunyai kaitan," katanya pada sidang media di Wisma Pantai di sini, hari ini. BH
Dua maut nahas dua kenderaan
KULIM — Dua maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori kargo am di Jalan Kulim-Mahang berhampiran Puspen Karangan, di sini, hari ini.
Mangsa yang maut ialah pemandu kereta yang dikenali sebagai Muhammad Syahmie Irfan Syaharudin, 22, dan penumpang kereta berkenaan yang belum diketahui identitinya.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, berkata Balai Polis Trafik Kulim menerima maklumat mengenai kemalangan maut itu daripada orang awam pada jam 8.40 pagi tadi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta itu datang dari arah Sungai Kob menghala ke Mahang manakala lori berkenaan pula dari arah Mahang menghala ke Sungai Kob.
"Setiba di lokasi kejadian, kereta terbabit dipercayai masuk ke laluan bertentangan selepas melalui selekoh dan melanggar bucu hadapan kanan lori berkenaan yang sedang bergerak di laluannya.
"Akibat kemalangan, pemandu dan penumpang kereta terbabit mengalami kecederaan parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya. BH
Hiba lihat rumah masih tenggelam bah sejak dua minggu lalu
BATU PAHAT — Luluh hati tujuh beranak dari Kampung Parit Warijo dekat Sri Medan di sini, melihat semua barangan kelengkapan sekolah termasuk pakaian sekolah, buku teks dan beg, musnah akibat bah besar yang melanda sejak dua minggu lalu.
Siti Suriati Ahmad Razali, 41, yang pulang meninjau kediamannya masih ditenggelami bah sejak 1 Mac lalu, hanya mampu mengalirkan air mata melihat hampir keseluruhan barangan milik keluarganya musnah berendam air.
Katanya, dia dan penduduk kampung tidak menyangka banjir kali ini lebih buruk dari bah besar pada 2006 sehingga memusnahkan harta benda yang sudah lama dikumpul.
"Sedih melihatkan kebanyakan barangan termasuk baju, kelengkapan dan beg sekolah masih berendam dengan air bah.
"Barang semua kami sudah simpan di tempat tinggi iaitu paras melebihi pinggang kerana banjir sebelum ini tidak lebih tahap itu.
"Namun kali ini keadaan lebih buruk apabila bah yang melanda mencapai paras kepala, menyebabkan semua barangan terutama kelengkapan sekolah terutama baju, kasut, buku teks dan beg empat anak yang bersekolah musnah ditenggelami air banjir.
"Bagaimanapun, guru-guru sekolah anak semuanya memahami dan memaklumkan jangan susah hati dan gunakan apa yang ada apabila sekolah dibuka minggu hadapan," katanya.
Bah yang melanda Johor sejak 1 Mac lalu disifatkan antara bencana banjir terburuk pernah dialami negeri itu selepas bah besar 2006. BH
Jenayah seksual terhadap kanak-kanak Kelantan amat membimbangkan - Ketua Hakim
KOTA BHARU — Sebanyak 13,579 kes didaftarkan membabitkan kes sivil dan jenayah di Mahkamah Kota Bharu dengan kes kesalahan berkaitan dadah direkodkan paling tinggi sepanjang tahun lalu.
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata daripada jumlah itu, 6,412 adalah kes jenayah termasuk sebanyak 3,683 kes berkaitan dadah.
"Sebanyak 72 kes didaftarkan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Tinggi, 254 kes di Mahkamah Sesyen dan di Mahkamah Majistret pula sebanyak 3,357 kes.
"Badan Kehakiman sentiasa komited untuk memastikan semua kes dilupuskan dengan efisien. Namun demikian, untuk menangani mahupun mencegah kesalahan jenayah terutamanya kesalahan berkaitan dadah, peranan mahkamah semata-mata tidak mencukupi.
"Sebaliknya, semua pihak hendaklah bersatu hati dan memainkan peranan masing-masing demi membanteras isu ini kerana kesannya yang amat dahsyat sehingga memusnahkan masa depan terutamanya generasi muda, bahkan boleh melumpuhkan pembangunan fizikal dan rohani rakyat," katanya. BH
Lelaki Orang Asli lemas selepas 14 jam tenggelam cari ikan di lombong
ALOR GAJAH — Seorang lelaki Orang Asli ditemui lemas selepas dilaporkan hilang ketika menjaring ikan di sebuah lombong tinggal di Solok Menggong, dekat Machap Umboo, di sini, petang semalam.
Mangsa, Jerrey Juli, 34, ditemukan di dasar lombong berkenaan jam 9 pagi tadi oleh pasukan penyelamat di air (PDPA) kira-kira 14 jam selepas dilaporkan hilang.
Mangsa disedari hilang kira-kira jam 5 petang oleh adik iparnya ketika menyelam selepas siap memasang jaring di lombong berkenaan.
Mangsa dikatakan ke lombong tinggal itu bersama lima ahli keluarga termasuk dua anaknya berusia enam dan 10 tahun kerana ia lokasi biasa untuk mencari ikan air tawar. BH
Pemandu maut, kelindan parah kemalangan 2 lori
GOMBAK — Seorang pemandu lori maut, manakala kelindannya pula parah dalam kemalangan di Kilometer (KM) 31.6 Lebuhraya Karak-Kampung Sungai Cinchin, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa yang berusia lingkungan 40-an itu disahkan maut di tempat kejadian selepas tersepit pada tempat duduk pemandu, sejurus kenderaan dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori lain. BH
Gurauan terkena renjatan elektrik jadi kenyataan
SEGAMAT: — "Sebelum arwah pergi selamanya, dia sempat bergurau dengan mengatakan rambutnya jadi kerinting terkena renjatan elektrik," kata Siti Ruhaidah Sampon, 43, ibu saudara kepada mangsa renjatan elektrik, Saiful Asyraf Mukhtar, 21.
Pada awalnya, Siti Ruhaidah menganggap anak saudaranya itu bergurau dalam kumpulan WhatsApp keluarga, pada 23 Februari lalu.
"Arwah memang suka melawak dengan semua orang termasuk kami, jadi apabila dia kata begitu pada mak cik, saya rasa ia perkara biasa.
"Sehingga kami dikhabarkan dia meninggal dunia di Segamat kelmarin, ketika itu baru saya sedar bahawa arwah seperti tahu yang dia akan meninggalkan kami.
"Kami tidak menyangka kelakuan ditunjukkan anak saudara sebagai petanda kami sekeluarga akan mengalami detik hiba khususnya menjelang Ramadan," katanya ketika dihubungi hari ini. BH
Kes typhoid rintang antibiotik meningkat
KUALA LUMPUR — Kes typhoid yang rintang terhadap antibiotik dikesan meningkat berikutan penggunaan ubat antibiotik yang berleluasa tanpa kawalan.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata peningkatan kes typhoid yang rintang terhadap ubat antibiotik, khususnya jenis quinolone adalah membimbangkan.
Katanya antibiotik quinolone adalah rawatan utama penyakit typhoid.
Murid terjejas banjir boleh hadir sekolah tanpa pakaian seragam - Fadhlina
KUALA LUMPUR — Pelajar terjejas banjir di beberapa negeri termasuk yang masih di pusat pemindahan sementara (PPS) diberi kelonggaran untuk hadir ke sekolah minggu depan tanpa memakai pakaian seragam.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kelonggaran itu diberi kerana pihaknya tidak mahu membebankan ibu bapa dengan mewajibkan mereka membeli pakaian seragam anak sedangkan masing-masing terkesan dengan bencana.
Beliau berkata pendekatan itu diambil bagi mengelak berlakunya keciciran pendidikan dalam kalangan pelajar khususnya yang terkesan dengan banjir di beberapa negeri dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil apa jua pendekatan supaya golongan terjejas khususnya anak-anak tidak ketinggalan dalam pendidikan.
Sumbangan Tunai Rahmah fasa 2 disegerakan awal bulan depan - PM
KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu supaya pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa 2 diagihkan awal bulan depan sebelum sambutan Aidilfitri.
Perdana Menteri berkata beliau sudah meminta Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan untuk menyegerakan perkara itu bagi memastikan golongan yang memerlukan, menerima bantuan berkenaan.