Ringkas lokal terpilih
Semakin ramai mangsa banjir di Johor dibenarkan pulang
JOHOR BAHRU — Seramai 1,627 lagi mangsa banjir di Johor dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing setakat pagi ini.
Mereka yang dibenarkan pulang itu terdiri daripada mangsa banjir yang sebelum ini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Batu Pahat.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata jumlah mangsa banjir di Johor setakat jam 8 pagi ini adalah seramai 26,381 orang daripada 7,418 keluarga.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor, berkata daripada jumlah itu, 26,337 (7,404 keluarga) adalah mangsa banjir di Batu Pahat.
"Sehingga pagi ini, tinggal dua lagi daerah yang masih terjejas akibat banjir iaitu Batu Pahat dan Segamat.
"Semua mangsa banjir yang tinggal kini masih ditempatkan di 95 PPS yang beroperasi masing-masing 93 di Batu Pahat dan dua di Segamat," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini. BH
'Saya nak lawat kubur bini...', rayu Lans Koperal selepas didakwa bunuh isteri
KANGAR — "Saya nak cakap satu sahaja, saya nak lawat kubur bini (isteri) saya."
Begitulah permintaan seorang seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal kepada anggota polis mahkamah ketika dibawa keluar dari kandang pesalah Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Tertuduh, Mohamad Nizarman Hassim, 27, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh isterinya di dalam sebuah rumah di Simpang Empat, di sini pada 5 Mac lalu.
Tertuduh, bagaimanapun hanya menjawab faham selepas pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Safsufarnisya Salleh, 26, di sebuah rumah di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, di sini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 5 Mac lalu sekitar jam 6.45 pagi dan 8.50 pagi. BH
'Kerajaan Malaysia ambil semua wang saya' - Roger Ng
NEW YORK — Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng yang dihukum penjara 10 tahun pada minggu lalu kerana terbabit skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mendakwa tidak mampu memenuhi tuntutan pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) untuk dia turut membayar AS$35 juta (RM157.18 juta), kerana Kerajaan Malaysia sudah mengambil semua wangnya.
Pendakwa raya persekutuan telah memohon Hakim Margo Brodie di Brooklyn, New York, supaya memerintahkan Ng dilucuthakkan jumlah itu berikutan wang diperoleh secara haram daripada konspirasi merompak dana kekayaan Malaysia, ketika dijatuhi hukuman pada 9 Mac lalu.
Peguam Ng, Marc Agnifilo, berhujah bahawa tiada penalti lain diperlukan dan anak guamnya tidak mempunyai dana dalam sebarang kes, menurut laporan Bloomberg.
Brodie tidak membuat keputusan berhubung isu pelucuthakan berkenaan pada minggu lalu. Rabu lalu, hakim berkenaan memerintahkan kedua-dua belah pihak terbabit untuk mengemukakan hujah sama ada jumlah diminta pendakwa raya itu melanggar Pindaan Kelapan yang melarang denda berlebihan berserta hukuman kejam atau luar biasa.
Pihak Ng, 51, berhujah bahawa Kerajaan Malaysia sudah merampas lebih AS$35 juta (RM157.18 juta) dari 11 akaun yang dipegang keluarganya. Dalam satu pemfailan di mahkamah, Agnifilo menegaskan rampasan itu bertujuan sebagai hukuman dan bukannya pemulangan dana. BH
Projek Ziarah Gereja: ...kenapa iklan di media sosial belum dipinda? - MAIS
SHAH ALAM — Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mempersoalkan mengapa risalah dan iklan Projek Artikel 11 Jom Ziarah belum dipinda sekiranya program itu hanya dikhaskan kepada bukan Islam.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pihaknya sedia maklum kenyataan terbaru Menteri Beliau dan Sukan, Hannah Yeoh bahawa program itu pada asalnya terbuka kepada semua, kini ditukar dan dihadkan kepada belia bukan Islam sahaja.
"Namun semakan MAIS setakat ini mendapati risalah dan iklan yang diedarkan di media-media sosial dan elektronik masih tidak dipinda bagi menunjukkan program ini dikhaskan hanya untuk orang bukan Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kepada iklan dan risalah yang diedarkan melalui media sosial dan elektronik sejak beberapa hari lalu berkaitan dengan 'Projek Artikel 11 Jom Ziarah', program anjuran Impact Malaysia iaitu sebuah pertubuhan di bawah Kementerian Belia dan Sukan. BH
Malaysia perkenal Program Hospital Pelancongan Perubatan Perdana
KUALA LUMPUR — Malaysia telah mengambil inisiatif untuk memperkenal Program Hospital Pelancongan Perubatan Perdana pertamanya dengan menyenarai pendek empat pusat perubatan iaitu Institut Jantung Negara, Island Hospital, Pusat Perubatan Mahkota dan Pusat Perubatan Subang Jaya.
Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu memainkan peranan penting dalam mentransformasi ekosistem penjagaan kesihatan di Malaysia dan rantau ini.
"Melalui program ini, hospital terkemuka negara sedang mempergiat komitmen dan usaha mereka bagi meningkatkan tahap kecemerlangan dalam memberikan perkhidmatan dari hujung ke hujung kepada pesakit sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi selamat dan boleh dipercayai bagi penjagaan kesihatan," menurut kenyataan itu. BH
