Ringkas lokal terpilih
Ustaz Azhar Idrus masuk hospital
KUALA LUMPUR — Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus dilaporkan dimasukkan ke hospital untuk rawatan dipercayai kerana masalah kesihatan membabitkan paru-paru dan jantung.
Beberapa tokoh agama dan pemimpin politik mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan dengan masalah kesihatan dihadapi Azhar termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
"Semoga Allah SWT terus merahmati dan mempermudahkan segala urusan buat Murrabi Ummah yang disayangi ini.
"Insya-Allah, sama-sama kita berdoa agar Allah SWT mengangkat penyakit yang dilalui oleh al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus ini. Sesungguhnya, hanya kepada Allah SWT jua tempat kita memohon," katanya dalam hantaran Facebook. BH
Sindiket tipu pelaburan antarabangsa, 2 warga UK dipenjara 6 bulan
SHAH ALAM — Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap dua lelaki warga United Kingdom (UK) kerana terbabit sindiket penipuan pelaburan antarabangsa berjumlah lebih RM600,000.
Andrew Mark Peters, 55 dan Darren Anthony Mcnicholas, 51, diarahkan menjalani hukuman itu bermula tarikh mereka ditahan iaitu 21 Februari lalu, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim, Rozilah Salleh.
Andrew Mark yang juga orang kurang upaya (OKU) turut didenda RM180,000 dan akan dipenjara 22 bulan jika gagal bayar denda, manakala denda RM140,000 dan gagal bayar dipenjara 16 bulan terhadap Darren Anthony.
Berdasarkan pertuduhan, Andrew Mark sebagai dalang sindiket penipuan antarabangsa bersubahat dengan mengarahkan Darren Anthony melalui ejen dikenali 'David Henshaw' dan 'Henry Paxton' menipu warga Scotland, lan Strachan.
Ia bagi memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa akan dijamin mendapat keuntungan yang tinggi daripada satu pelaburan jangka masa singkat dengan membuat pembelian saham di syarikat dikenali Novocure Limited serta Lithion Power Corp yang kedua-dua tertuduh ketahui tidak wujud.
Dengan itu, mereka dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan AS$5,672.41 (RM25,528.68) dan EURO€121,200 (RM577,691.87) ke dalam akaun OCBC Bank dan CIMB Bank (M) Berhad milik Premier Tranfers Ltd, di Menara Mitraland, Jalan PJ 5/1, Selangor, pada 21 Mei dan 27 Jun 2019.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 417 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. BH
5 bank dalam pengawasan 'radar' SPRM
KUALA LUMPUR — Lima bank utama di negara ini berada di bawah pemerhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai digunakan sindiket penipuan antarabangsa untuk melakukan transaksi pemindahan wang mangsa yang ditipu sehingga RM1 juta sehari.
Peranan bank berkenaan terdedah susulan siasatan SPRM atas kejayaan menumpaskan sindiket penipuan antarabangsa di negara ini menerusi Operasi Tropicana (Op Tropicana), baru-baru ini.
Difahamkan, sekurang-kurangnya 20 kakitangan bank terbabit termasuk juruaudit dan pegawai kaunter hadapan, dipercayai berperanan memudahkan sindiket membuka akaun.
Akaun-akaun ini kemudian digunakan oleh sindiket untuk mengutip wang tunai yang didepositkan oleh mangsa yang menjadi mangsa penipuan.
Siasatan SPRM mendapati kebanyakan mangsa setakat ini dikenal pasti sebagai warga Australia dan United Kingdom (UK).
Pegawai bank itu juga dilaporkan akan 'menutup mata' terhadap sebarang laporan transaksi mencurigakan pada akaun bank berkenaan.
Peranan pekerja bank itu menyebabkan sindiket penipuan mampu mengaut keuntungan kira-kira RM200 juta hanya dalam tempoh tiga bulan.
Sebagai balasan, mereka akan menerima upah antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap akaun bank yang berjaya dibuka untuk kegunaan sindiket. BH
EXCO Terengganu kena waran tangkap kes petisyen pilihan raya
KUALA TERENGGANU — Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah kerana gagal hadir memberi keterangan perbicaraan Petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya selepas peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong.
Hassan ketika prosiding kelmarin (Selasa) mengarahkan Mohd Nor hadir semula ke mahkamah hari ini untuk menyambung memberikan keterangannya.
Bagaimanapun, Mohd Nor gagal hadir ke mahkamah dan perbicaraan bagi petisyen pilihan raya Marang akan disambung pada 19 Mac ini. BH
`Rim kereta saya pun bengkok', Sultan Johor minta peruntukan baiki jalan, lebuh raya
ISKANDAR PUTERI — Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berharap Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan untuk membaiki jalan yang rosak teruk dan berlubang di Lebuhraya Pasir Gudang.
Sultan Ibrahim bertitah, Jalan Johor Bahru-Mersing turut mengalami isu sama dan berbahaya kepada pengguna jalan raya.
"Saya berharap supaya peruntukan pembaikan jalan Persekutuan disalurkan untuk membaiki laluan Lebuhraya Pasir Gudang dan Jalan Johor Bahru-Mersing yang berlubang dan amat membahayakan pengguna jalan raya.
"Habis rim kereta saya pun bengkok," titah baginda ketika merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini. BH
Sultan Johor titah pecat AJK masjid, surau benarkan penceramah tanpa tauliah beri ceramah agama
ISKANDAR PUTERI — Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di negeri ini dipecat, sekiranya membenarkan penceramah tanpa tauliah memberi ceramah agama di negeri ini.
Sultan Ibrahim menitahkan mana-mana penceramah agama yang hendak menyampaikan ceramah di Johor mestilah memiliki tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Sehubungan itu, baginda menitahkan semua AJK masjid dan surau yang hendak menganjurkan ceramah agama perlu mendapatkan kebenaran daripada MAINJ menerusi Pejabat Kadi Daerah.
"Permohonan kebenaran itu perlu menyatakan secara terperinci tajuk ceramah serta perkara yang ingin disampaikan ketika memberi ceramah agama.
"Sekiranya ada mana-mana masjid dan surau yang gagal patuhi peraturan ini, maka semua AJK masjid dan surau itu akan diambil tindakan serta dipecat.
"Tindakan tegas ini bukanlah menghalang program penyebaran ilmu Islam tetapi untuk mengawal penyebaran fahaman yang menyeleweng dan terpesong daripada hukum syarak yang berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini. BH
Anwar umum perkhidmatan percuma MRT laluan Putrajaya hingga 31 Mac
SERDANG — Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya boleh digunakan secara percuma bermula hari ini sehingga 31 Mac ini.
Perdana Menteri berkata, perkhidmatan percuma itu dari stesen MRT Kwasa Damansara hingga Putrajaya Sentral ditawarkan sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya bermula jam 3 petang ini.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya di sini, hari ini. BH
Susu habis, bapa pujuk anak minum air suam
JOHOR BAHRU — Seorang bapa terpaksa memujuk anak bongsunya untuk minum air suam kerana tiada bekalan susu berikutan kesempitan hidup.
Mohd Faris Jaya, 35, bapa kepada empat anak berusia tiga tahun hingga lapan tahun, bekerja sebagai penghantar makanan, namun ada ketikanya tiada tugasan dan tiada pendapatan, ketika cuaca buruk sehingga tidak mampu membeli makanan untuk anaknya.
"Saya bekerja sebagai penghantar barang sejak pandemik COVID-19 dan pendapatan harian saya kira-kira RM50 hingga RM60.
"Namun, kadang-kala saya tiada tugasan ketika cuaca buruk hingga tidak mampu membelikan makanan untuk anak.
"Saya pernah memujuk anak bongsu perempuan untuk minum air suam bila tiada bekalan susu di rumah," katanya. BH
Mangsa banjir Johor terus menurun
JOHOR BAHRU — Situasi banjir di Johor terus menunjukkan trend menurun dengan jumlah mangsa pagi ini, seramai 31,680 daripada 8,992 keluarga dari tiga daerah yang masih terjejas banjir.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata jumlah itu susut berbanding jam 8 malam tadi yang menempatkan seramai 33,245 mangsa daripada 9,433 keluarga yang ditempatkan di 107 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Batu Pahat, Tangkak dan Segamat.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor, berkata Batu Pahat masih merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu menunjukkan penurunan mangsa banjir dengan 31,581 orang (8,966 keluarga) di 103 PPS.
"Daerah Tangkak kekal dengan jumlah mangsa 24 orang (tiga keluarga) ditempatkan di satu PPS.
"Begitu juga di Segamat, jumlah mangsa kekal iaitu 75 mangsa (23 keluarga) di tiga PPS," katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini. BH
7 beranak hidup tanpa bekalan elektrik hampir empat tahun
GUA MUSANG — Tujuh sekeluarga di Kampung Baru, di sini, memohon bantuan orang ramai untuk membeli sebuah generator bagi memasang lampu pada waktu malam, berikutan sudah hampir empat tahun tiada bekalan elektrik.
Bekalan elektrik di rumah Rusmawaty Rusdy, 35, dipotong apabila keluarga itu tidak mampu membayar bil yang tertunggak yang mencecah ribuan ringgit.
Di sebabkan rumah mereka terletak di atas tanah rizab sungai, penyambungan semula elektrik tidak boleh dilakukan walaupun jumlah tunggakan dibayar.
Menurut Rusmawaty, dia bersama suami, Mohd Soffian Mohd Rosni, 41, serta lima anak berusia antara dua hingga 14 tahun hidup tanpa bekalan elektrik sudah hampir empat tahun.
Katanya, setiap hari pada waktu malam suaminya yang hanya melakukan kerja-kerja kampung dan pendapatan tidak menentu akan menyalakan lampu LED menggunakan bateri kereta yang hanya sekadar menerangi ruang tamu.
"Lampu LED ini pun dipasang hanya sekejap sahaja dan mampu bertahan hanya beberapa jam. Kami tujuh beranak tidur bergelap setiap malam.
"Apabila anak perlu menyiapkan kerja sekolah, mereka akan melakukannya pada siang hari.
"Jadi kami sangat berharap sekiranya ada pihak yang sudi membantu untuk membeli sebuah generator supaya dapat kami memasang lampu pada waktu malam," katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Baru, di sini. BH
Samun peniaga dalam talian, dua lelaki ditahan
ISKANDAR PUTERI — Polis menahan dua lelaki tempatan selepas disyaki terbabit dalam kes samun di Puteri Harbour di sini, Isnin lalu, yang mana video kejadiannya tular sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, berkata pihaknya mengesan video tular mengenai samun itu semalam, bagaimanapun tangkapan sudah dibuat Isnin lalu.
"Bertindak atas maklumat dan risikan, suspek pertama ditahan pada jam 10.15 pagi di Horizon Hill manakala suspek kedua ditahan jam 9 malam, hari yang sama di Gelang Patah.
"Hasil siasatan, suspek mengaku terbabit dalam kes yang berlaku pada jam 9.45 pagi itu dengan cara melanggar kereta mangsa dan mencederakan mangsa menggunakan parang," katanya menerusi kenyataan media, hari ini. BH
