Langkau ke kandungan utama

Ringkas lokal terpilih



Banjir surut sepenuhnya di Muar

JOHOR BAHRU — Keadaan banjir di negeri ini dilihat semakin baik dengan daerah Muar menjadi daerah terbaharu pulih sepenuhnya daripada bencana itu.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), dengan perkembangan terbaharu itu, jumlah mangsa banjir menurun kepada 33,245 orang di tiga daerah setakat jam 8 malam tadi, berbanding 35,230 orang yang direkodkan jam 4 petang tadi.

"Sehingga kini, sebanyak 107 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di daerah Batu Pahat, Tangkak dan Segamat.

"Batu Pahat mempunyai paling ramai mangsa iaitu seramai 33,146 daripada 9,407 keluarga, diikuti Segamat 75 orang (23 keluarga) dan Tangkak 24 mangsa daripada tiga keluarga," menurut kenyataan itu. BH


Kos cetak buku Mari Kenali Sawit 'tak masuk akal'

KUALA LUMPUR — Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) digesa mengaudit projek pencetakan buku 'Mari Kenali Sawit' yang diedar ke sekolah di seluruh negara.

Teresa Kok (PH-Seputeh) yang membangkitkan isu itu menyifatkan pelaksanaan projek kendalian Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) itu sebagai 'tidak masuk akal'.

Katanya, sebanyak 210,060 buku dicetak bagi kegunaan sekolah rendah, manakala 62,475 lagi versi sekolah menengah, masing-masing berharga RM13.30 dan RM19.30 seunit, membabitkan peruntukan hampir RM4 juta.

"Yang Berhormat tahu (perincian) kos percetakan sebab ketika pilihan raya kita memang buat pencetakan bahan publisiti.

"Bagaimana buku seperti ini boleh berharga RM13.30 dan RM19.30.

"Menteri perlu jalankan siasatan dan audit projek ini, adakah buku ini dihantar ke semua sekolah serta ke 144 Pejabat Pendidikan Daerah di seluruh negara," katanya yang juga Naib Pengerusi DAP.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat Jawatankuasa bagi KPK di Dewan Rakyat, hari ini. BH


Tiada kelas akademik minggu pertama sesi persekolahan 2023/2024

PUTRAJAYA — Tiada kelas akademik diadakan pada minggu pertama sesi persekolahan 2023/2024 yang akan bermula 19 Mac dan 20 Mac ini, sebaliknya ia diisi dengan penerapan nilai-nilai jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek, kata Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali.

"Fokus hari pertama persekolahan sebelum ini adalah kepada akademik tetapi langkah yang diambil pada sesi 2023/2024 ini adalah melaksanakan pendidikan didik hibur dan pembelajaran berasaskan projek mudah," katanya dalam sidang media sempena amanat pembukaan sesi persekolahan 2023/2024, hari ini.

Sesi persekolahan 2023/2024 akan bermula pada 19 Mac 2023 hingga 9 Mac 2024 bagi negeri Kumpulan A, manakala 20 Mac 2023 hingga 10 Mac 2024 bagi negeri Kumpulan B.

Kumpulan A membabitkan Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Kumpulan B meliputi Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. BH


Sumbangan Tunai Rahmah: Kemas kini maklumat peribadi sebelum 31 Mac

KOTA BHARU — Orang ramai diminta agar mengemas kini maklumat peribadi untuk pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa kedua yang akan mula diagihkan sebelum Aidilfitri.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata proses kemas kini serta pendaftaran baharu sudah dibuka sejak 1 Mac lalu dan akan berakhir penghujung bulan ini.

"Untuk STR fasa kedua, pembayaran akan dibuat sebelum Aidilfitri dan kita mohon agar pemohon mengemas kini data terkini mereka kerana mungkin ada perubahan beberapa perkara.

"Fasa pertama sudah selesai diproses secara berperingkat pada 17 Januari lalu membabitkan 8.7 juta penerima dengan peruntukan bernilai RM1.67 bilion.

"Sumbangan Tunai Rahmah kali ini yang terbesar iaitu berjumlah RM8 bilion nak beri kepada 9 juta rakyat yang memberi manfaat kepada golongan B40 di bawah agensi pelaksana iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya di sini, hari ini. BH


'Datang sekolah asalkan berbaju walaupun bukan pakaian seragam' - Fadhlina

NILAI — Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kelonggaran kepada murid dan pelajar yang kurang mampu untuk hadir ke sekolah pada sesi persekolahan baharu, meskipun tidak dapat menyediakan pakaian seragam sekolah.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata kelonggaran itu diberikan sebagai langkah memudahkan ibu bapa terutama mereka terkesan akibat banjir.

"Dalam konteks di Johor misalnya, kita (KPM) beri ruang kepada mereka ini supaya datang ke sekolah walaupun tanpa memakai pakaian seragam.

"Yang penting asalkan berbaju, sebab kita tak nak beban hanya soal baju (seragam) itu, mereka dinafikan daripada pendidikan," katanya selepas merasmikan Seminar Membangunkan Malaysia Madani Sektor Pendidikan di Institut Aminuddin Baki, Bandar Estek di sini, hari ini. BH


Situasi banjir di Johor makin baik

JOHOR BAHRU — Situasi banjir di Johor semakin menunjukkan tanda pulih dengan jumlah mangsa terus berkurangan kepada 36,086 orang setakat 8 pagi ini berbanding 37,503 orang direkodkan pada 8 malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan sebanyak 10,157 keluarga masih ditempatkan di 116 pusat pemindahan sementara di empat daerah.

"Batu Pahat mencatatkan mangsa teramai iaitu 35,849 orang diikuti Muar (111), Segamat (102) dan Tangkak (24)," menurut kenyataan itu. BH


Penjawat awam Pahang terima kenaikan khas RM100

KUANTAN — Kerajaan Pahang bersetuju untuk memberi Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas tahun 2023 berjumlah RM100 kepada penjawat awam negeri itu.

Kenaikan itu adalah selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2022 di mana Kerajaan Persekutuan meluluskan pemberian itu kepada Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan dalam Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional berkuat kuasa 1 Januari 2023.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata mengambil kira peranan penting penjawat awam negeri yang telah memberikan perkhidmatan kepada rakyat Pahang, kerajaan negeri bersetuju menerima pakai Pekeliling Perkhidmatan itu.

Katanya, pemberian KGT Tambahan Khas itu tidak akan menjejaskan Pergerakan Gaji Tahunan pegawai bagi tahun 2023 dan tahun berikutnya serta tidak mengubah tarikh pergerakan gaji pegawai.

"Pemberian ini akan membabitkan implikasi kewangan tahunan sebanyak RM9.6 juta kepada kira-kira 8,000 penjawat di bawah pentadbiran Kerajaan Pahang," katanya dalam kenyataan hari ini. BH


Perlis kembali benarkan tangkapan siput retak seribu

KANGAR — Perlis bakal memberi semula kebenaran menjalankan aktiviti penangkapan siput retak seribu di perairan negeri itu selepas diharamkan sejak tahun 1986, berikutan kegiatan berkenaan yang menjejaskan ekosistem hidupan laut di perairan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri Perlis, Razali Saad, berkata pihaknya menerusi kerajaan negeri bersetuju untuk mengeluarkan permit aktiviti berkenaan secara bersyarat.

"Kita (kerajaan negeri) bersetuju untuk keluarkan permit tangkapan siput retak seribu namun ia adalah dengan bersyarat kerana kita melihat keperluan sumber laut Perlis ini untuk dimanfaatkan dan dinikmati oleh masyarakat nelayan di negeri ini.

"Oleh itu pengeluaran permit tangkapan siput retak seribu akan diberikan secara terhad kepada nelayan berlesen dengan 20 kuota pengeluaran permit di pangkalan sedia ada.

"Selain itu kawasan pengoperasian tangkapan siput dari spesis ini juga adalah diletakkan pada Zon A hanya pada jarak satu hingga lima batu nautika, selain muatan sampan dan kapasiti enjin pula ditentukan oleh pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Abu Bakar Hamzah (PN-Kuala Perlis) ketika Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN Perlis, Persiaran Wawasan, di sini hari ini. BH


Yasin fail representasi keempat kaji tuduhan dadah

PETALING JAYA — Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, akan memfailkan representasi keempat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah dihadapinya.

Peguam bela Muhammad Yasin, Ariff Azami Hussein, berkata pihaknya memfailkan representasi itu atas arahan anak guam selepas representasi ketiga atas tujuan sama ditolak dua hari lalu.

Pasukan pembelaan tiada niat untuk melengahkan prosiding dengan memfailkan representasi, sebaliknya yakin pertuduhan terhadap Muhammad Yasin boleh diusaha dan diselesaikan tanpa melalui perbicaraan.

"Sebagaimana dimaklumkan bahawa hari ini dan esok adalah perbicaraan. Untuk makluman mahkamah, kami ada masukkan representasi ketiga pada 1 Mac lalu dan malangnya kami terima jawapan dua hari lalu bahawa ia ditolak.

"Oleh itu, kami mendapat arahan anak guam memasukkan representasi keempat. Kami memaklumkan kepada pendakwaan mengenai hasrat berkenaan semalam.

"Difahamkan mereka tiada bantahan supaya bicara hari ini dan esok dilapangkan sementara representasi keempat dimasukkan serta dipertimbangkan.

"Kami mohon respon pendakwaan mengenai permohonan ini," katanya ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Nik Nasimah Nik Mohammad, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah, mengesahkan tidak membantah permohonan berkenaan.

Hakim kemudian menetapkan 31 Mei, 1 dan 2 Jun ini untuk perbicaraan kes berkenaan. BH

Catatan popular daripada blog ini

5 penderma teratas dana gempa Turkiye

Khemah bagi orang terlantar berikutan gempa bumi di Adiyaman, tenggara Turkiye, 25 Mac 2023. (AFP) RIYADH — Pejabat PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan pada Jumaat mengucapkan terima kasih kepada Arab Saudi dan negara penderma lain yang menyumbang untuk meningkatkan lebih satu perempat daripada rayuan kilat dikeluarkan oleh PBB berikutan gempa bumi dahsyat di Turkiye, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA). PBB berkata ia telah mengumpulkan $268 juta sebagai tindak balas kepada rayuan dana kemanusiaan $1 bilion untuk kerja bantuan di Turkiye berikutan gempa bumi 7.8 magnitud pada 6 Februari dan gegaran susulannya yang memusnahkan sebahagian besar Turkiye tenggara dan sebahagian Syria yang dilanda perang. Jurucakap Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Jens Laerke berkata, 27 peratus daripada rayuan telah dibiayai dan penderma terbesar ialah Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS), Kuwait, Suruhanjaya Eropah dan Tabung Tindak Balas Kecemasan Pusat PBB, sambil menggesa negara-negara u...

Perkhidmatan pengintip Rusia berkata, AS latih militan untuk menyerang Rusia

MOSCOW — Perkhidmatan perisik asing Rusia berkata pada Isnin, ia telah menerima risikan bahawa tentera AS sedang melatih militan Islam untuk menyerang sasaran di Rusia dan bekas Kesatuan Soviet. Perkhidmatan Perisikan Asing Rusia, diketuai oleh sekutu Presiden Vladimir Putin, berkata ia mempunyai risikan bahawa 60 militan seperti itu daripada kumpulan yang bergabung dengan Daesh dan Al-Qaeda telah direkrut dan sedang menjalani latihan di pangkalan Amerika di Syria. “Mereka akan ditugaskan untuk menyediakan dan melakukan serangan pengganas terhadap diplomat, penjawat awam, pegawai penguatkuasa undang-undang dan anggota angkatan tentera,” kata Perkhidmatan Perisikan Asing, dikenali SVR. "Perhatian khusus diberikan untuk menarik pendatang dari Caucasus Utara Rusia dan Asia Tengah," kata SVR dalam satu kenyataan. Agensi itu tidak menerbitkan risikan di sebalik dakwaannya dan Reuters tidak dapat mengesahkannya secara bebas. SVR, pernah menjadi sebahagian darip...

Tahi itik, jala emas, buah tanjung tetap jadi pilihan Ramadan di Kelantan

Tahi itik - (Foto Wikipedia) KOTA BHARU — Kuih tradisi Kelantan seperti tahi itik, jala emas dan buah tanjung tetap menjadi pilihan utama orang ramai di negeri ini, untuk dijadikan juadah manisan untuk berbuka puasa setiap kali Ramadan. Pengusaha kuih tradisional, Mohammed Omar, 65, berkata permintaan bagi semua kuih berkenaan meningkat berbanding hari biasa menyebabkan dia tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang datang membelinya di rumah. Katanya, setiap hari dia memerlukan 3,000 biji telur ayam untuk membuat tiga jenis kuih tradisional iaitu jala emas dan buah tanjung yang menggunakan seratus peratus telur kuning, manakala telur putih digunakan untuk membuat kuih tahi itik. "Saya sudah lebih 20 tahun berniaga menjual kuih bersama arwah isteri, Fatimah Nik Salleh yang meninggal dunia tujuh tahun lalu dan resepi untuk membuat semua kuih ini adalah daripadanya yang memiliki rasa sedap serta tidak terlalu manis dan rasa itu dikekalkan sehingga ke hari ini. ...