![]() |
(Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali) |
KUALA LUMPUR — Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan bagaimana Jabatan Peguam Negara boleh membuat keputusan lebih awal untuk mendakwanya sedangkan beliau belum memberikan sebarang kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
Bekas perdana menteri yang juga Presiden BERSATU itu berkata, beliau mengetahui keputusan untuk mendakwa dirinya sudah diputuskan oleh kerajaan walaupun siasatan belum dilengkapkan.
"Mereka hanya menggunakan agensi penguat kuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik. Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang.
"Saya sudah berkecimpung dalam politik selama 50 tahun dan sepanjang tempoh itu, tiada sebarang kesalahan yang saya lakukan.
"Saya sentiasa akur kepada peraturan dan undang-undang. Saya tidak melanggar peraturan mahupun undang-undang dengan sewenang-wenangnya.
"Pegawai kerajaan yang pernah berkhidmat dengan saya pasti tahu sikap dan pendirian saya mengenai pematuhan kepada peraturan dan undang-undang," katanya dalam sidang media selepas menghadapi enam pertuduhan mengikut Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen hari ini. BH