![]() |
Martabak Kadok |
KOTA BHARU: Rezeki pengusaha martabak di Kampung Kadok, di sini, berganda apabila mampu menjual sehingga 800 keping sehari sepanjang Ramadan.
Ahmad Rais Fikri Rosli, 30, berkata, berbanding hari biasa dia hanya mampu menjual di antara 300 hingga 400 keping sehari.
Katanya, ketibaan Ramadan menjadikan dia dan dan ahli keluarga tidak menang tangan dan terpaksa mengehadkan tempahan, apatah lagi kekurangan penebar doh.
![]() |
Ahmad Rais (kanan) bersama seorang pekerjanya. (Foto NSTP) |
"Malah pembeli sanggup beratur panjang untuk mendapatkan tempahan martabak yang terkenal dengan nama 'Martabak Kadok' itu untuk juadah berbuka puasa.
"Bagi memenuhi permintaan pelanggan, hampir setiap hari sebanyak 1,400 biji telur digunakan untuk membuat inti martabak selain 40 kilogram (kg) tepung gandum untuk membuat doh.
"Ramuan inti martabak menggunakan resipi ibu, Kamisah Ab Majid, 54, sejak mula berniaga pada 1996 dan sehingga hari ini langsung tidak diubah bagi mengekalkan rasa aslinya," katanya di Kampung Kadok, di sini, hari ini. BH