'PN tak gentar...' - Dominic Lau
KUALA LUMPUR — Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Dominic Lau menegaskan gabungan itu tidak gentar dengan usaha yang dilihat seperti mahu menjatuhkan pakatan empat parti berkenaan.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr Dominic Lau, berkata mereka percaya siasatan pihak berkuasa, tuduhan dan tindakan undang-undang yang digerakkan ke atas PN juga tidak akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap gabungan itu kerana yakin mereka berada di pihak yang benar.
PN dianggotai empat parti dengan, iaitu tiga dari Semenanjung membabitkan BERSATU, PAS dan GERAKAN serta dua lagi berpangkalan di Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
"Jika untuk menurunkan sokongan rakyat kepada PN, saya mahu katakan hakikat adalah sebaliknya, rakyat tahu siapa yang betul dan tidak betul atau sama ada dakwaan yang dilemparkan kepada mai benar atau hanya sekadar dakwaan politik.
"Malah, kami yakin sokongan kepada PN bukan sahaja kekal, tapi akan tebal lagi. Oleh itu, kita katakan tindakan itu tidak akan pengaruhi sokongan kepada PN," katanya pada sidang media di Menara PGRM di sini, hari ini. BH
Persidangan UMNO Lahad Datu kecoh, penyokong bertumbuk atas pentas
LAHAD DATU — Persidangan UMNO Bahagian Lahad Datu di Dewan Sri Perdana, di sini, hari ini, kecoh selepas berlaku insiden pergaduhan di atas pentas membabitkan penyokong calon bertanding.
Video kejadian itu turut tular di media sosial, memaparkan beberapa penyokong yang tidak berpuas hati bertindak menaiki pentas ketika Ketua Bahagian UMNO Lahad Datu, Khalid Harun sedang berucap.
Tindakan itu kemudian menyebabkan lebih ramai penyokong menaiki pentas sehingga tercetusnya pergaduhan dan kejadian bertumbuk di antara mereka.
Difahamkan, pergaduhan berpunca akibat provokasi daripada penyokong calon yang bertanding.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman 2012 serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan. BH
Tiga wanita jadi keldai akaun ditahan polis
BALIK PULAU — Polis daerah Barat Daya menahan tiga wanita kerana disyaki menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan bagi penghantaran barang, pelaburan mata wang asing tidak wujud dan menyamar sebagai rakan.
Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam kenyataannya, berkata wanita berusia 39 hingga 49 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Pulau Pinang, dua hari lalu.
"Berdasarkan siasatan awal, mereka disyaki dijadikan keldai akaun kepada sindiket penipuan yang berbeza, membabitkan kerugian mangsa antara RM2,000 hingga RM18,000.
"Siasatan juga mendapati semua yang ditahan itu membabitkan kes yang dilaporkan sejak tahun 2019 hingga 2022," menurut kenyataan itu. BH
Polis cari pemandu Toyota Wish yang lesap dalam kebun sawit
KOTA TINGGI — Polis sedang mengesan pemandu Toyota Wish yang gagal memberhentikan kenderaan setelah diarahkan berbuat demikian sehingga terpaksa dikejar di Felda Simpang Waha, di sini kelmarin.
Ketua Polis daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata kejadian 1 tengah hari ketika pasukan Penguat Kuasa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasan Trafik daerah Kota Tinggi sedang menjalankan tugasan rondaan di Jalan Lok Heng - Mawai di sini.
Ketika rondaan, polis terlihat sebuah MPV jenis Toyota Wish berwarna putih dengan nombor pendaftaran JEX31 dalam keadaan mencurigakan.
"Polis telah mengarahkan kenderaan itu berhenti untuk pemeriksaan beberapa kali, namun pemandu enggan mematuhi dan terus memecut laju, hingga ke Simpang Waha sebelum hilang selepas masuk ke kebun kelapa sawit Felda itu.
"Hasil siasatan awal mengesyaki pemandu itu ialah lelaki warga tempatan berusia 27 tahun iaitu adik lelaki kepada pemilik kenderaan berdaftar terbabit.
"Usaha mengesan suspek masih dijalankan, pemilik kenderaan berdaftar juga dibawa ke IPD Kota Tinggi bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi bilik gerakan IPD di talian 07-8837222 bagi membantu siasatan kes. BH
Dua lelaki maut, lori dinaiki rempuh treler berhenti tengah jalan
GUA MUSANG — Seorang pemandu lori bersama kelindannya, maut akibat tersepit dalam kemalangan selepas lori dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di Kilometer (KM) 43.5 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian 6.45 pagi itu, pemandu lori, Wan Muhammad Izzat Wan Jusoh, 25, dan kelindan, Nik Mohamad Nasrullah Mohd Nizam, 26, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata kejadian berpunca daripada sebuah lori melanggar belakang treler.
"Siasatan mendapati, kemalangan berlaku apabila lori muatan cat dari arah Gua Musang menuju ke Kota Bharu, melanggar bahagian belakang sebuah treler muatan barangan besi yang berhenti di tengah jalan akibat kerosakan gear.
"Kedua-dua mangsa iaitu pemandu dan kelindan lori tersepit dan disahkan maut di lokasi kejadian. Mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh pihak bomba," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. BH
Bisikan jadi punca guru terjun dari tingkat empat bangunan sekolah
KUANTAN — Seorang guru wanita mendakwa mendengar bisikan selama empat hari berturut-turut, sebelum terjun dari tingkat empat bangunan sebuah sekolah jenis kebangsaan (SJK) di bandar ini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, guru pendidikan pra berusia 28 tahun itu, terselamat dan hanya mengalami luka dan bengkak serta lebam pada muka, selain calar pada bahagian siku kiri.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuantan menerima maklumat kejadian seorang wanita telah terjatuh dari bangunan tingkat empat sekolah.
"Wanita terbabit telah dibawa oleh pihak sekolah ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, bagi menerima rawatan.
"Hasil temubual, saksi menyatakan melihat sendiri wanita berkenaan berada di tingkat empat sekolah terbabit dan sedang berada di bahagian luar penghadang bangunan seperti ingin terjun.
"Saksi menyatakan ada seorang guru perempuan lain cuba memujuknya daripada terjun namun dia dikatakan telah terjun tanpa paksaan mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan, hari ini. BH
Impian pesara tunai umrah lebur, duit RM11,400 lesap
KUANTAN — Impian seorang pesara swasta di Temerloh untuk menunaikan umrah bukan sahaja tidak kesampaian, malah terpaksa menanggung kerugian RM11,400 apabila terpedaya pakej umrah tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata berdasarkan laporan, mangsa berusia 58 tahun itu tertarik tawaran pakej umrah melalui aplikasi WhatsApp pada 5 Mac lalu.
Katanya, pesara swasta itu mendapat satu tawaran tajaan program umrah dan haji melalui kumpulan WhatsApp pada siaran langsung tarannum.
"Berikutan itu, mangsa berurusan dengan suspek yang memaklumkan wakil daripada SP TEAM yang dilantik oleh sebuah syarikat yang menguruskan umrah dan haji untuk urusan tajaan terbabit.
"Mangsa berminat dengan tawaran itu dan membuat sebanyak lima kali transaksi dua akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek.
"Kelmarin, mangsa menghubungi syarikat terbabit tetapi dimaklumkan tiada tajaan yang ditawarkan oleh pihak SP Team.
"Wang simpanan mangsa sebanyak RM11,400 lesap kerana mempercayai tawaran yang dibuat oleh suspek yang mengambil kesempatan melalui kumpulan bacaan taranum.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini. BH
160 hadir Majlis Tautan Kasih bekas kakitangan BH, HM
KUALA LUMPUR — Seramai 160 bekas kakitangan Berita Harian (BH) dan Harian Metro (HM) hadir ke Majlis Tautan Kasih anjuran Kelab Alumni Riong Bangsar (KARIB) di sini, hari ini.
Program menghimpunkan semula bekas kakitangan jabatan pengarang itu merangkumi bekas pengarang kumpulan, pengarang kanan, wartawan, jurugambar, penyunting serta unit grafik yang pernah berkhidmat dengan akhbar BH dan HM.
Antara yang hadir bekas Pengarang Kumpulan BH, Datuk Seri A Samad Said, Datuk A Kadir Jasin, Datuk Manja Ismail, Datuk Mahfar Ali, Khaidir A Majid serta bekas Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Hanif Hadi dan Datuk Badulhisham Othman. BH
Periksa hingga ke bilik mayat cari abang
KUALA LUMPUR — Keluarga penulis prolifik, Hizairi Othman masih meneruskan pencarian, walaupun misteri kehilangannya sudah mencecah lebih dua dekad.
Dalam catatan di Facebook, adik Hizairi, Haizulsyam berkata pelbagai ikhtiar telah diusahakan, termasuk memeriksa sehingga ke bilik mayat.
"Yang ini tak banyak orang tahu. Arwah ayah (sasterawan Dr Othman Puteh) senyap-senyap hantar (saya) ke hospital dengan 'misi' ini. "Trauma dibuatnya bila tatap muka orang yang mati dengan pelbagai gaya.
"Saya laporkan pada Arwah ayah 'summary' (rumusan) sahaja, 'yes or no'. Kita tak nak panjang-panjang cerita. Tapi bertahun jugalah tidur saya tak lena," katanya.
Beliau menulis catatan itu sebagai mengenang peristiwa abang sulungnya, Hizairi yang dilaporkan hilang sejak 15 Mac 2001. BH
Payung Rahmah: Baucar elektrik RM300 untuk miskin tegar, B40 terkesan banjir
MELAKA — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengagihkan baucar barangan elektrik bernilai RM300 kepada miskin tegar dan B40 yang terkesan banjir di Pahang dan Johor.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata pengagihan melalui Program Payung Rahmah itu akan dilakukan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membantu golongan sasar membeli peralatan baharu yang musnah.
"KPDN melalui SSM bersetuju melakukan inisiatif Payung Rahmah kepada mangsa banjir di Johor dan sebahagian di Pahang dengan memperuntukkan bajet untuk 1,000 mangsa.
"Kita akan bantu dengan baucar yang setiap satu bernilai RM300 untuk mereka membeli barang asas keperluan seperti mesin basuh atau peti sejuk ataupun peralatan elektrik yang musnah akibat banjir," katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu SSM Melaka yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz di Ayer Keroh, hari ini. BH
Mayat dipercayai pendaki hilang ditemui di Bukit Beruang
MELAKA — Mayat lelaki ditemui di Bukit Beruang di sini, 9.45 pagi hari ini dipercayai pendaki yang dilaporkan sesat dan hilang ketika mendaki bukit berkenaan, Selasa lalu.
Ketika ini pasukan polis forensik, Kementerian Kesihatan (KKM) dan bomba sudah tiba di lokasi untuk melakukan siasatan lanjut, kira-kira 12 tengah hari tadi.
Pendaki terbabit, peniaga Steven Tan Kim Huat, 45, sebelum ini dilaporkan mendaki bukit itu, 4.30 petang Selasa lalu sebelum ahli keluarganya membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh apabila dia gagal dihubungi dan tidak pulang sehingga 8.30 malam. BH
MAQIS rampas produk haiwan cuba dibawa masuk menerusi klia2
PUTRAJAYA — Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan membawa masuk produk haiwan melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Rabu lalu.
Pengarah MAQIS Selangor, Mohd Sobri Md Hashim, berkata rampasan produk haiwan seberat 20 kilogram (kg) itu dianggarkan bernilai RM200 yang cuba dibawa masuk oleh seorang warga China.
Beliau berkata, tindakan individu itu berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas kastam sekitar jam 6.30 pagi.
"Konsainan itu terdiri daripada 8kg itik dan 12kg sosej lembu mentah yang diletakkan di dalam sebuah bagasi yang berisiko bolehmembawa masuk penyakit ke dalam negara.
"Produk haiwan itu telah disita oleh pihak MAQIS kerana tidak mempunyai permit import serta sijil kesihatan dan sijil halal yang sah," katanya melalui satu kenyataan, hari ini.BH
Kampung haram digempur, 61 warga asing ditahan
KLANG — Seramai 61 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan dalam serbuan di perkampungan haram yang dibina dalam ladang kelapa sawit berhampiran Taman Perindustrian Air Hitam, di sini malam tadi. BH