![]() |
Foto hiasan |
SIBU — Seorang akauntan wanita di sini, kerugian RM48,560 selepas diperdaya sindiket pinjaman wang secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata kejadian berlaku apabila wanita tempatan berusia 30 tahun itu yang ingin membuat pinjaman wang RM20,000 tertarik dengan tawaran sebuah syarikat pinjaman wang di laman Google.
Beliau berkata, mangsa yang bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat swasta bagaimanapun diperdaya suspek yang menyamar sebagai ejen peminjam wang di laman web terbabit.
"Mangsa membuat 12 kali transaksi bayaran berjumlah RM48,560 ke dalam lima akaun bank melalui perbankan internet dan CDM mulai 28 Mac lalu bagi urusan proses pinjaman seperti dokumen perbankan, pendaftaran, yuran pemprosesan dan pembayaran cukai bagi kelulusan segera.
"Mangsa juga dijanjikan pulangan semula wang selepas mendapat kelulusan pinjaman.
"Bagaimanapun, selepas membuat semua pembayaran diminta, mangsa masih digesa membuat beberapa lagi pembayaran bagi tujuan pengeluaran semua wang dijanjikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zulkipli berkata, mangsa yang berasa curiga kemudian membuat laporan polis, kelmarin.
Justeru, beliau berkata bagi mengelak menjadi mangsa penipuan scammer, orang ramai dinasihatkanmerujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan ikuti laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.
Selain itu, katanya, semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui juga boleh dibuat melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/BH